Hentikan memfitnah
Ustaz Shamsuri
Assalamualaikum.
Saya merasa terpanggil untuk menulis mengenai isu Ustaz Shamsuri setelah begitu
heboh diperkatakan(dalam Internet) mengenai tindakannya berceramah dalam forum
anjuran BN. Sebelum ini saya mengambil sikap berkecuali dan tidak membela
mahupun menuduh ustaz, kerana saya sendiri tidak melihatnya berceramah pada
malam itu.
Tetapi, setelah saya berjumpa sendiri dengan pengurusnya (penerbit kaset
kuliahnya yang telah saya kenali selama lebih dari 5 tahun), saya seolah-olah
terpaksa untuk menulis mengenai isu ini bagi menjelaskan beberapa kekeliruan
yang telah timbul.
Ustaz Shamsuri sebenarnya telah
diperangkap untuk berceramah untuk pihak BN pada malam itu. Beliau telah
menerima arahan daripada pihak atasan (oleh pegawai Tan Sri Dr.Koh Soo Kun)
kerana ustaz terikat dengan kontraknya sebagai pensyarah matrikulasi (lupa pulak
nak tanya di mana). Beliau bukan dijemput, tetapi dipaksa oleh SB yang
menyembunyikan hakikat bahawa beliau akan berceramah di atas pentas BN. Saya
tidak tahu syarat-syarat pembebasannya dari ISA, mungkin inilah syarat yang
dikenakan iaitu dikehendaki berceramah untuk pihak kerajaan. Mungkin jika ustaz
tidak mengikuti kehendak SB tersebut, ustaz akan dihantar semula ke Kamunting
sebagaimana yang telah berlaku kepada Dr. Badrul Amin. Wallahua'lam.
Apabila sampai di tempat forum, beliau tidak mempunyai pilihan dan terpaksa
berceramah, tetapi tidak berkempen untuk BN, sebaliknya
hujahnya adalah berdasarkan Al-Quran dan Hadis semata-mata.
Saya melihat isu ini telah diperbesar-besarkan, termasuk oleh mereka yang tidak
melihat sendiri forum tersebut, mahupun mereka yang tidak pernah mengikuti
kuliah beliau. Kita harus faham, bahawa ustaz baru saja bebas dari ISA, dan
tekanan yang diterima oleh beliau adalah hebat. Sepatutnya apabila mendengar
berita yang belum pasti kebenarannya seperti ini, selidiklah dahulu sebelum
menjaja fitnah merata tempat.
Kepada mereka yang pernah melayari laman webnya: www.shamsuri.com pasti tidak
berjumpa lagi laman tersebut sekarang. Saya sendiri beranggapan bahawa laman web
tersebut ditutup @ tidak diupdate kerana kesibukan webmasternya, tetapi rupa-rupanya
saya telah tersilap. Laman web tersebut sebenarnya telah diarahkan supaya
ditutup oleh SB. Inilah rancangan jahat musuh-musuh Islam yang mahu menyekat
penyebaran ilmu-ilmu Islam dengan apa cara sekalipun.
Kepada mereka yang belum tahu, ustaz Shamsuri adalah ahli SEUMUR HIDUP PAS. Saya
tidak nampak sebarang sebab mengapa secara tiba-tiba ustaz masuk/menyokong BN,
kerana sepanjang pengetahuan saya, daripada hampir seratus (100) tajuk kaset
kuliahnya, intipatinya adalah jelas, iaitu
menyokong pemerintahan berdasarkan AL-Quran dan As-sunnah. Bandingkan kuliah
beliau dengan kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anda akan dapati
persamaannya.
Mengenai tuduhan bahawa beliau mata duitan dan berceramah di pentas BN untuk
mencari habuan dunia,tuduhan tersebut tidak benar. Setiap bulan ustaz dibayar
gaji/royalti sebanyak lima ribu ringgit ($5000) oleh penerbitnya, dan ustaz juga
telah dihadiahkan sebuah kereta untuk kemudahannya berdakwah oleh penerbitnya.
Mustahil jumlah wang sebanyak itu tidak mencukupi sehingga ustaz tergamak
mengkhianati perjuangan Islam.
Kepada mereka yang masih ragu-ragu tentang isu ini, saya nasihatkan anda
mendapatkan kaset kuliahnya yang terbaru, yang akan menyentuh mengenai
kontroversi forum tersebut. Insya Allah, kaset tersebut akan berada di pasaran
pada Selasa ini (5 Februari) dan dengar sendiri penjelasan daripada mulut ustaz
sendiri sebelum membawa fitnah tanpa usul periksa. Ingatlah bahaya fitnah,
kerana bahaya fitnah itu lebih bahaya dari membunuh. Ingatlah nasib yang menimpa
Anwar Ibrahim akibat fitnah yang dibawa oleh mereka yang mahu menjatuhkannya.
``Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada
pembunuhan''. (Surah al-Baqarah ayat 191).
``Barang siapa yang mengetahui ada orang mukmin dihina di depannya, ia harus
membelanya, mempertahankan nama baik si mukmin itu. Apabila ia tidak mahu
melakukan pembelaan itu, maka Allah s.w.t. akan menghinanya di depan orang
ramai''. (Hadis riwayat Ahmad dan Tharani).
Komen webmaster: Dua atau artikel mengenai Ustaz Shamsuri dan Ustaz Firdaus
yang disiarkan adalah atas permintaan penulis dan saya tidak dapat
mempertanggungjawabkan jika maklumat yang diberikan adalah salah. Namun dengan
penyiaran artikel ini diharap kita dapat memperbetulkan kekeliruan yang ada.
Harap jangan jadikan laman ini sebagai 'penyebar fitnah' tetapi gunakan ianya
sebagai medan perbahasan dan penyebaran maklumat secara bebas tanpa ada sekatan
melainkan apa yang diperintahkan kepada kita melalui kedua sumber yang kita
anuti itu ~ Webmaster
Hits: