Taktik Khir Nak Alihkan Isu Rasuahnya Tidak Berjaya

OLeh : BAHARUDIN MOHD NOOR

Penulis upahan Tepak Bersulam melalui laman web tajaan Umno jelas mahu elak diri dari membincangkan isu sebenar dalam kes rasuah Khir Toyo. Dia mahu orang ramai yang sudah tahu perangai MB Selangor yang terkutuk itu mengalih pandangan kepada isu lain, yang langsung tidak relevan. Baginya, selagi rakyat Selangor memperkatakan soal rasuah Khir, alamat masa depan Khir gelap, paling lama pun sampai pilihan raya akan datang, dan Tepak akan pening kepala kerana tak dapat tumpang rasuah Khir yang melimpah-ruah itu.

Pertama, Tepak nak tunjukkan bahawa ada pihak yang mendalangi dan turut membiayai Ahmad Lutfi bagi ‘memfitnah’ Khir Toyo dengan membuat tuduhan palsu.

Kedua, beliau nak dedahkan bahawa ada konspirasi dalam Umno Selangor sendiri untuk jatuhkan Khir sebagai MB Selangor. Maka dicanangkan bahawa ada tiga orang Exco kanan Selangor mahu menggulingkan Khir. Macam-macam cerita tak masuk akal yang diasaknya.

Ketiga, beliau cuba memburuk-burukkan Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Dr Hassan Ali. Dalam Memo17 tajaan Khir Toyo yang diedarkan secara percuma di merata tempat, termasuk melalui pos, sengaja dicari-cari kelemahan dalaman PAS, seperti apabila beliau memfitnah bahawa Naib Presiden PAS yang seorang lagi, Senator Hassan Shukri berbalah dengan Dr Hassan Ali.

Keempat, beberapa hujah lapuknya bagaimana Khir Toyo membeli tanah hampir setengah ekar di kawasan tapak banglo di Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi jelas tidak dapat diterima kerana Khir secara nyata menyalahgunakan kuasanya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan tapak banglo murah itu.

Kelima, dengan membuat tekaan yang nyata meleset, seperti membabitkan Nasir Jani, pengarah VCD Skandal MB dan fitnah lain tentang Lutfi, Tepak nampak sangat berharap Lutfi akan cepat mengaku kalah dan tidak lagi membongkar pelbagai skandal rasuah Khir. Tepak mahu tunjukkan dia boleh mengetahui apa saja perkembangan di sebelah Lutfi sedangkan hampir semuanya adalah pembohongan belaka.

Beliau harap Khir dan suku-sakatnya seperti Karim Mansur akan menyanjung tinggi usaha terkutuknya itu. Sebab itu bila dia nampak Lutfi macam mengalah saja, maka Tepak riuh-rendah mendakwa Lutfi sudah mengaku Khir akan menang dan Lutfi terpaksa mencari kerja lain.

Apa pun, isu rasuah Khir tetap akan dihebahkan, diperincikan, divideokan, dan yang terbaru akan diseminarkan. Kita mahu biar seluruh rakyat Selangor mengetahui belang sebenar MB mereka yang pandai berlagak alim tetapi kejahatannya mengkhianati amanah rakyat cukup ketara sekali. Tidak cukup dengan rasuah tanah, projek jalan, projek paip air, balak, Khir menggunakan segala suku-sakatnya untuk mengaut kekayaan, dan yang tinggal kepada rakyat biasa hanyalah kuah yang sudah basi.

Tanyalah kepada pemimpin Umno Selangor sendiri, selain penjilatnya yang menunggu masa untuk menjadi Exco baru, tentang bagaimana Khir menggunakan kuasanya bagi mengaut segala kemewahan itu. Tanyalah kepada Pengarah JKR negeri, bagaimana Khir sentiasa mencadangkan nama-nama kontraktor kenalannya untuk mendapat projek yang kosnya ditingkatkan dua tiga kali ganda.

Kisah budak-budak umur 20 tahun yang dapat tanah 50 ekar seorang belum dapat dilupakan lagi. Kisah bagaimana kroni Khir dalam pertemuan sesama sendiri, daripada Karim Mansur sampailah kepada Datuk Aidit, semuanya mahu kebas segala kekayaan Selangor, biar nanti kalau pembangkang yang menang pada 2003, tak ada lagi tanah dan balak yang boleh dikaut. “Selangor te e kito, kapen meneh” (Selangor kita punya, bila lagi).

Gelagat rakus Khir dan kroninya ini tidak boleh dibiarkan. Yang rugi rakyat dan kerajaan juga. Ini baru tak sampai dua tahun jadi MB, macam-macam disapunya. Kita tak tahulah bila dah lama, dah tahu segala selok-belok nak sapu harta dan projek, maka bertimbun-timbunlah rasuah yang dimakan Khir.

Untuk harapkan Mahathir bertindak memecat Khir tentulah tidak logik. Ini kerana bagi PM, isu rasuah bukan satu isu besar selagi seseorang MB itu boleh mengikut katanya dan membahagikan tanah dan projek untuk kroni PM pula. Lagi pun bukankah Khir ini budak pilihan PM dan dianggap paling bersih di kalangan Exco-Exco yang busuk-busuk itu?

Macam mana pun Khir tetap bimbang dengan isu rasuah yang didedahkan Lutfi itu. Macam-macam dibuatnya, sehinggakan terpaksa terbitkan Memo17 yang diedar di seluruh Selangor itu. Itu semua tak jadi hal kepada Khir, duit rasuahnya beratus juta itu tidak luak pun kalau setakat nak mengupah orang macam Tepak Bersulam dan Kunta Kinte. Dan sebenarnya duit rasuah Khir tak perlu diusik, banyak jutawan seperti Rozali Ismail, taukeh Puncak Niaga yang dapat 400 ekar tanah di Bukit Cherakah, boleh sponsor kerja-kerja tidak bermoral untuk bersihkan nama Khir.

Khir ingat segala duit dan kemewahannya serta kuasanya sebagai MB Selangor boleh membeli semula keyakinan rakyat yang hilang kepadanya. Sebab itu Khir mahu memerangi habis-habisan usaha Lutfi menyebarkan kes rasuahnya. Khir tahu, dia tak akan dibuang oleh PM tetapi macam mana pula dengan kerjayanya dalam politik Umno. Semua orang tahu Khir berangan tinggi mahu melawan Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein. Tapi, dengan imej buruknya sebagai budak rasuah yang kemaruk kuasa ini, peluangnya mungkin agak tertutup. Apa pun Khir yakin duit rasuahnya yang melimpah-ruah itu akhirnya dapat memastikan Pemuda Umno akan kembali menyokongnya.

Sebab uitu Khir tak malu-malu habiskan duit kerajaan negeri untuk membeli iklan dua tiga muka dalam Utusan Malaysia dan Berita Minggu semata-mata untuk menunjukkan kerajaan pimpinannya prihatin dengan orang susah. Program beli rumah murah dengan RM1 pun dibesar-besarkan sedangkan ia hanya satu penipuan belaka! Bila Lutfi dedahkan hanya 400 meter dari rumah bapanya ada banyak rumah-rumah penduduk kampung yang melarat, barulah Khir sibuk mengarahkan agensi kerajaan datang menjenguk.

Bila Khir dijadikan sasaran dalam internet, maka hebohkan Khir berkhutbah supaya BN kembali menyerang dengan menggunakan internet juga. Sedangkan yang dituju internet ini adalah salahlaku Khir sebagai MB, bukannya BN itu sendiri. Maka makin menggelabahlah Khir.

Sebab itu Khir tak berani rombak Exco walaupun itulah yang sangat-sangat dikehendakinya. Kalau nak tukar Exco, Khir kena minta perkenan PM dan disahkan oleh Sultan. Apa hujah Khir nak tukar orang-orang veteran itu kepada PM. Khir mungkin akan kata, seperti yang dicanangkan oleh Utusan malaysia (surat Roslan Bian dan analisis Amir Sharifudin), bahawa mereka ini adalah pengkhianat parti.

Soalnya, kalau Exco-Exco ini dilucutkan jawatan dan mereka meletakkan jawatan sebagai ADUN tanda protes kepada Khir yang mengesahkan bahawa mereka pengkhianat kepada parti dan kerajaan, mampukah Khir mengetuai jentera kempen pilihan raya kecil di Selangor?

Sebab itu saya yakin 100 peratus Khir tak akan berani buat rombakan Exco. Khir pun tak tahu apa persepsi PM kepadanya. Dia tak boleh jadikan perlantikannya sbagai Ketua Umno Selangor sebagai kayu ukur bahawa PM senang hati dengannya. Ini kerana Mat Taib sendiri yang menyerahkan jawatan itu suka sama suka kepada Khir, bukan kerana kehebatan Khir.

Khir jangan ingat dia boleh terus jadi MB sampai pilihan raya akan datang jika dia sudah menjadi bebanan buat BN Selangor. Ingat, sekarang Khir adalah bebanan atau liabiliti buat Umno, bukan saja di Selangor tetapi di seluruh negara.