Pas Tetap Anggap Kejadian Di Sauk Sandiwara Dan Enggan Minta Maaf
 
 
KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- PAS masih tetap berpegang bahawa kejadian rompakan senjata dan peristiwa Sauk, Perak dua tahun lepas adalah suatu sandiwara dan tidak akan meminta maaf mengenainya.


Setiausaha agungnya Nasharuddin Mat Isa berkata, memandangkan PAS masih menganggap kejadian itu suatu sandiwara, maka kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan PAS meminta maaf atas dakwaannya itu tidak timbul sama sekali.

"Kita masih beranggapan kejadian itu suatu lakonan dan oleh itu kita melihat isu bagi meminta maaf itu tidak timbul langsung," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Sabtu.

Najib yang juga Naib Presiden Umno dipetik akhbar tempatan Sabtu sebagai berkata, pemimpin parti pembangkang perlu meminta maaf kerana membohongi rakyat dengan mendakwa kejadian itu adalah suatu sandiwara.

Najib berkata, proses perbicaraan anggota Al-Maunah di Mahkamah Tinggi telah dijalankan secara adil dengan segala fakta dibentangkan tetapi tiada yang menunjukkan dakwaan pembangkang itu sebagai benar.

Pada Julai 2000, sekumpulan anggota Al-Maunah yang berpakaian tentera telah merompak beratus-ratus senjata dari kem tentera di Grik sebelum bersembunyi di kebun durian di Bukit Jenalik, Sauk.

Peristiwa yang berlarutan beberapa hari dan mengorbankan tiga orang itu, bagaimanapun, berakhir dengan anggota Al-Maunah itu menyerah diri kepada pihak berkuasa keselamatan yang mengepung kawasan itu.

Nasharuddin berkata, tindakan kerajaan melakonkan semula kejadian itu bagi membuktikan sejumlah senjata itu boleh diangkut menggunakan empat kenderaan Pajero juga membuktikan kejadian di Sauk itu sememangnya sandiwara.

Katanya, PAS menolak jemputan Kementerian Pertahanan untuk menyaksikan lakonan semula itu setelah permintaan pihaknya supaya diadakan sesi soal jawab selepas demonstrasi itu ditolak.

"Kalau benar itu bukan lakonan, mengapa mereka tolak permintaan kita supaya diadakan sesi soal jawab," katanya.

Demonstrasi yang diadakan di Kementerian Pertahanan selepas kejadian di Sauk menunjukkan beratus-ratus senjata berkenaan boleh diangkut ke dalam kenderaan Pajero dalam masa empat minit sahaja.

-- BERNAMA