Memorandum PUM vs Penulis Hina Islam Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang Bermula memorandum ini disampaikan kepada Peyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu untuk dipanjangkan kepada Pengerusi Majlis Raja-Raja Melayu, pelbagai reaksi telah dilontar kepada tindakan ini. Seperti yang dijangka media massa menjadikan ianya isu panas tetapi dengan olahan yang tersendiri untuk menggambarkan tindakan ini sebagai tindakan yang sempit dan dianggap menyekat perkembangan minda di kalangan umat Islam. Reaksi dari kalangan ahli politik, pemimpin kerajaan, jurnalis, ahli akademis, aktivis masyarakat dan orang perseorangan di dedahkan dalam akhbar harian, bukan sahaja dengan nada membidas malah cuba mengalih isu ini kepada isu politik. Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berserta 7 NGO Islam yang lain dituduh bermirip pembangkang. Tindakan PUM dituding sebagai tidak adil dan didakwa pro pembangkang. Konflik antara parti politik cuba diheret ke dalam isu ini dengan menuduh PUM tidak mengambil pendirian terhadap isu yang lain sebelum ini. PUM dan 7 NGO Islam yang lain menganggapi bahawa mereka yang bersikap dan berpendirian negatif terhadap tindakan ini jelas mempunyai agenda tersendiri iaitu agenda untuk memberi laluan kepada arus sekularisme dan liberalisme di negara ini dengan cara meminggir dan menekan suara ulama' . Istilah-istilah yang diguna untuk menyudutkan golongan ulama seperti ulama politik,ulama ortodoks, ulama fundamentalis dan ekstremis dan ulama militan, adalah pendekatan untuk merendah dan menakut-nakutkan masyarakat terhadap golongan ulama. Di samping kami percaya mereka yang melontar reaksi negatif ini mempunyai agenda tersendiri, kami juga yakin mereka tidak membaca ( malah tidak mahu mengambil tahu) kandungan memo tersebut. Kami percaya rencana-rencana yang ditulis dan diterbitkan ( umumnya diterbit dalam bahasa Inggeris) tidak dibaca oleh kebanyakkan masyarakat. Kami juga yakin pihak seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di JPM Brig.Jen (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin dan lain tidak akan menerima kata-katayang ditulis oleh penulis-penulis berkenaan sebagai "kata-kata intelektual" ," kata-kata ilmiah" atau hanya "konflik pendapat", jika mereka benar-benar meneliti kalimah-kalimah menghina yang diguna oleh penulis-penulis berkenaan. Oleh itu reaksi mereka yang mencadangkan diadakan perbincangan dengan penulis, bagi kami adalah suatu helah untuk tidak mahu mendakwa mereka yang bersalah. Oleh kerana pelbagai reaksi negatif terhadap tindakan PUM telah disiarkan dalam media massa maka kami membuat keputusan agar masyarakat umum mengetahui kandungan penuh memo tersebut agar dapat dinilai dengan bijak dan adil oleh semua pihak. Kami menyeru supaya semua pihak mengambil perhatian serius terhadap isu ini dengan memohon Majlis Raja-Raja Melayu sebagai badan yang memegang kuasa tertinggi menjaga kesucian agama Islam dan institusi-institusinya di negara ini bertindak sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab menghina dan mencabar Islam. Berikut adalah memorandum yang telah diserahkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pengerusi Majlis Raja-Raja Melayu melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu mengenai isu ini pada 21 Zulkaedah 1422 bersamaan 4 Februari 2002 di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu : Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pengerusi Majlis Raja - Raja Melayu Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja - Raja Melayu 482, Jalan Bukit Petaling 50682 Kuala Lumpur Assalamualaikum wr.wb. POHON MENGHADAP KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA, PENGERUSI MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU UNTUK PERBINCANGAN DAN PENJELASAN BAGI MENGAMBIL TINDAKAN KE ATAS PENULIS-PENULIS DAN MEDIA YANG MENGHINA ISLAM DAN MEMPERKECILKAN RASULULLAH S.A.W SERTA ULAMA. Dengan penuh takzimnya, Persatuan Ulama Malaysia (PUM),Persatuan Ulama Kedah (PUK), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), HELWANI MPMI, Majlis Bertindak Wanita Islam (MBWI), dan Persatuan Graduan Syariah Malaysia, kami merafak sembah dan menjunjung kasih, memohon perkenan mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia sebagai Pengerusi Majlis Raja-Raja Melayu untuk meneliti, berbincang dan mengambil tindakan ke atas para penulis dan akhbar yang sudah kerap kali menulis dan menyiarkan artikel-artikel yang jelas menghina ulama, Rasulullah s.a.w dan Islam sendiri. Berkaitan dengan ini, kami ingin menjelaskan bahawa pihak kami sudah melakukan pemantauan dan membuat penelitian yang terperinci mengenai hal tersebut dan pihak kami dapat merumuskan bahawa dewasa ini ada usaha yang terancang dan berterusan untuk menghina kesucian agama Islam di negara ini. Kami dapati usaha pihak-pihak tertentu ini bermula dengan menanamkan keraguan dan kekeliruan terhadap imej dan status ulama dan seterusnya memberi gambaran salah mengenai hukum Islam yang dianggap sudah tidak sesuai lagi di zaman moden ini. Kami juga merumuskan mereka telah cuba mengelirukan umat Islam dengan melontarkan pandangan bahawa segala hukum-hukum Islam seharusnya tidak terikat dengan tafsiran ulama' (termasuk ulama' mu'tabar). Mereka berusaha untuk mempengaruhi masyarakat bahawa Islam boleh ditafsir mengikut kehendak hati sesiapa sahaja dengan bebas. Akibatnya kami dapati mereka menyarankan untuk membolehkan siapa sahaja yang mahu memberi tafsiran tersendiri mengenai syariat Islam boleh berbuat demikian walaupun di kalangan yang tidak mempunyai kedalaman ilmu yang asas mengenai kaedah merumuskan hukum-hukum Syariat. Kami berpendapat jika hal ini tidak dibendung, kekeliruan yang besar akan berlaku di kalangan masyarakat Islam di dalam negara ini dan akan mengakibatkan umat Islam berada dalam dilema dan kekeliruan yang merbahaya. Membiarkan hukum Islam dikomentar dan dicabar serta dihina oleh sesiapa sahaja yang tidak mempunyai asas yang betul dalam kaedah ilmu Islam akan mendedahkan masyarakat kepada kacau-bilau dan porak peranda yang menghancurkan. Kami dengan penuh rendah diri menghormati kedudukan dan amanah besar yang dipikul oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia dalam Majlis Raja-Raja yang mengikut Perlembagaan Persekutuan adalah penjaga kesucian Islam di negara ini. Namun nampaknya Islam dan institusinya semakin dicabar oleh mereka yang berniat jahat. Pihak ini cuba mengukuhkan pendapat bahawa tafsiran mengenai al-Quran dan al-Hadith boleh dibuat secara liberal dan moden oleh pihak-pihak yang berkenaan dan tiada pihak pun yang berusaha untuk membendungnya segera. Kami yakin jika hal ini tidak dibendung, umat Islam akan melalui suatu keadaan yang cukup bahaya dan berkemungkinan melibatkan penyimpangan dari Aqidah Islam dan syariat Islam yang benar iaitu berdasarkan nas-nas serta dalil-dalilnya yang sudah disepakati oleh Ulama mu'tabar. Kami berpendapat pihak berkuasa perlu bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada demi menjaga kesucian dan kedudukan syariat Islam, Rasulullah SAW serta ulama' dari terus dicerca dan dihina. Pentafsiran Islam secara liberal dengan mengikut logik dan hujah rasional tanpa merujuk kepada kaedah dan disiplin Islam secara khusus akan mencemarkan kesucian hukum Syariat yang telah disepakati oleh para ulama' yang keikhlasan dan kesolehan mereka tidak dipersoal. Dengan membiarkan pihak yang ghairah memperdebatkan hukum-hukum Islam sesuka hati mereka akan merebakkan lagi mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mencabar dan mempersoal institusi-institusi agama Islam di negara ini. Perkara jelas yang hendak dilakukan oleh mereka ialah menanamkan rasa benci dan marah serta hilang hormat, kepercayaan dan kasih masyarakat terhadap kewibawaan ulama' dan institusi-institusi Islam. Usaha yang semakin berleluasa ini dengan jelas bertujuan untuk akhirnya membawa negara ini jauh dari tuntutan Islam apabila terdapat ruang seluasnya untuk pihak awam (yang tidak mempunyai keupayaan untuk membahaskan hukum Islam) dengan sesuka hati menolak sebarang hukum Islam yang jelas dan nyata. Malah hukum-hukum Islam seolah-olah ditendang sesuka hati bagaikan bola sepak secara paling biadab. Malah dari keadaan yang kami perhatikan bahawa pengawalan kesucian Islam sudah nampak tidak terkawal apabila ada pihak-pihak yang tidak ada kena mengena dengan Islam seperti Majlis Peguam (Bar Council) sekalipun sudah berani mendebatkan mengenai hal ehwal Islam. Padahal tidak terdapat sesiapapun di kalangan individu atau badan-badan Islam yang mahu memberi komen kepada agama Kristian, Buddha mahupun Hindu kerana hormat kepada pegangan agama masing-masing. Soalnya kenapa mereka yang bukan Islam pula berani untuk memberi komen ke atas hukum Islam? Jelas sekali kesucian Islam sudah terdedah kepada penghinaan oleh sesiapa sahaja termasuk orang-orang bukan Islam dan ini merupakan trend yang sangat berbahaya. Kami dengan ini memohon perhatian yang serius dari Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia agar tindakan tegas melalui peruntukan undang-undang yang terdapat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri diambil untuk membendung perkembangan yang tidak sihat dan bahaya ini. Kami percaya Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia tidak akan membiarkan agama Islam dan institusi-institusinya yang suci di serang dan dihina. Kami dengan tulus ikhlas merayu kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia agar mengambil langkah tegas bagi menyekat perbuatan yang kami anggap bahaya dan jahat ini. Di samping itu sebagai cadangan kami mengusulkan agar Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia mempertimbangkan untuk mewujudkan sebuah mekanisme sama ada berbentuk sebuah Forum atau Majlis Khas untuk mana-mana pihak yang ingin menyuarakan pendapat tentang Islam menyalurkan pandangan mereka kepada badan ini. Sesiapa sahaja yang ingin memberi pandangan mengenai Islam perlu dihadapkan kepada badan ini bagi mereka mengutarakan hujah. Kami berpandangan bahawa dengan adanya badan seperti ini, mereka yang ingin menyuarakan pandangan mereka dapat dibahaskan melalui saluran badan ini supaya kekeliruan di kalangan masyarakat dapat dihindari. Badan ini hendaklah secara langsung dipertangungjawabkan kepada Majlis Raja-Raja sendiri di bawah nasihat mufti-mufti. Artikel-artikel yang berkaitan telah kami lampirkan untuk penelitian ke Bawah Duli Yang Maha Mulia. Berikut adalah antara penghinaan yang dinyatakan dalam tulisan mereka yang kami dapati menghina ulama', menghina status Rasulullah s.a.w dan sekaligus menghina hukum-hukum Islam : 1.0 ISLAM BOLEH DITAFSIR OLEH SESIAPA SEKALIPUN TANPA MENGIRA LATAR BELAKANGNYA. 1.1 "Islam bukanlah milik individu atau mana-mana golongan yang mendakwa mereka sebagai ulama . Oleh itu sebarang pentafsiran terhadap sumber-sumber Islam seperti Al Quran bukanlah milik para ulama semata-mata." (Zainah Anwar , Pengarah Eksekutif Sisters in Islam :Utusan Malaysia, 26 hb September 2000) 1.2 "Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama )yang telah ketinggalan zaman.... Kepada umat Islam kita menyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran Al Quran berdasarkan kaedah saintifik." (Kassim Ahmad, New Straits Times, 12 hb Oktober 2000) 2.0 MENGHINA RASULULLAH S.A.W. 2.1 ".the Prophet known to have had sexual relations with 15 women, which included the concubine Rayhana who remained non-Muslim all her life." ("Nabi diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang wanita bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya") ["Let Islam lead way with its progressive view on sexuality" oleh Farish A. Noor (NST, 4 Nov 4 2000)] 2.2 ".the Prophet himself, in his specific historical context, was a tribal leader, and so the early oath of allegiance given to him were given as a tribal rather than just a religious leader." (... Nabi sendiri dalam konteks sejarahnya dadalah seorang pemimpin kabilah, dan oleh kerana itu ketaatan awal kepada baginda diberi kerana baginda adalah pemimpin kabilah lebih dari pemimpin agama) "....Islam is a discourse and all discourses are open, contested and plastic...." ( Islam adalah suatu wacana dan semua wacana adalah terbuka, boleh dicabar dan plastik ) ["Farish A Noor - Intellectual Provocateur" temubual oleh Amir Muhammad ("The Edge" , 3 Dis 2001)] 2.3 "the Prophet was seen by early converts to Islam as a tribal leader and many of those who rallied to his banner did so according to the logic of tribal loyalties." (.Nabi dilihat oleh pengiku-pengikutNya sebagai pemimpin suku dan ramai di kalangan mereka yang mengikutinya berbuat demikian kerana logik kepatuhan kesukuan .) ["The Myth Surrounding the Islamic State" oleh Farish A. Noor ( NST 1 hb Disember 2001) 3.0 MENGHINA ULAMA' DAN SUNNAH RASULLULAH S.A.W 3.1 "Perhaps the turbans of the mufti are too tight and therefore not enough oxygen is getting into their brains.They are not thinking straight. " "From time to time the ulama do not fail to come out with their totally ridiculous and foolish pronouncements." (". Mungkin serban mufti-mufti terlalu ketat dan sebab itu tidak cukup oksigen masuk ke dalam otak mereka. Mereka tidak berfikiran waras ...Dari masa ke semasa ulama selalu mengeluarkan pengumuman yang tidak masuk akal dan bodoh.") ["Now the mufti blame Hindi films" Akbar Ali (The Sun, 21hb Februari 2001)] 3.2. "A religious issue is finally being discussed freely by many intelligent people and not just by men who dislike shaving but are not averse to wearing dresses.." "There is also substantial discussion on this issue on the Internet which usually provides more challenging opinions than what we will hear from the bearded ones in our neighbourhood". (".. Isu agama akhirnya dibincang secara bebas oleh ramai bijak pandai dan tidak hanya orang yang tidak suka mencukur janggut tetapi tidak menentang mengenai pakaian. "Terdapat juga perbincangan yang mendalam mengenai isuini di dalam internet yang kebiasaannya mengeluarkan pendapat yang lebih mencabar berbanding apa yang kita dengar daripada mereka yang berjanggut") ("Many Sides to tudung issue" oleh Akbar Ali – The SUN, 12 April 2000) 4.0 MENAFIKAN HUKUM ISLAM MENGENAI MURTAD 4.1 The Quran allows a person to become apostate twice and then to persist in his disbelief" "No punishment of any sort at all is prescribed for such a person other than the promise that God will never forgive him nor guide him to the right path. This is God's promise. It is his law." (..Al-Quran membenarkan seseorang menjadi murtad dua kali dan kekal sebagai kafir. ..Tiada hukuman dinyatakan ke atas seseorang yang murtad selain dari janji Tuhan yang tidak akan mengampuninya mahupun memberinya petunjuk yang lurus. Ini adalah janji Tuhan. Ini adalah undang-undangNya.) (Death For Apostates Unjust oleh Akbar Ali - The SUN, 14 hb Julai 1999) 4.2 "The few women who have spoken in support of polygamy also seem to be strong supporters of the ulama brand of religion..The ulama in their efforts to confuse have come out with fancy stories that a wife who consents for her husband to take another wife is assured a place in paradise" ("Segelintir wanita yang telah mengutarakan pendapat menyokong poligami nampakanya menjadi penyokong kuat terhadap ugama mengikut jenama ulama . ulama dalam usaha mereka untuk mengelirukan telah mengeluarkan cerita-cerita karut bahawa seorang isteri yang membenarkan suaminya berkahwin lain dijamin syurga.") (Polygamy in Islam comes with a heavy responsibility - Akbar Ali dalam The SUN 20/1/02) 5.0 MENAFIKAN HUKUM YANG TELAH JELAS DALAM AL-QURAN 5.1 "Therefore the question that should be addressed in our society today is not whether poligamy should be relegalised under the civil law for the non Muslims, but whether it should still be continued under the Islamic family law for the Muslims". ("Oleh kerana itu soal yang perlu ditangani di dalam masyarakat kita hari ini bukanlah isu samada poligami patut disahkan di bawah undang-undang sivil untuk orang bukan Islam, tetapi samada ia sepatutnya dibenarkan terus di dalam undang-undang keluarga Islam") ["Islam did not Invent or Encourage Polygamy", Sisters in Islam, NST 10th January 2002] 5.2 " As for the number of wives allowed in polygamy, the Quran does not indicate a fixed maximum of four. The phrase "two and three and four " is also found in describing the wings of angels" ("Mengenai bilangan isteri yang dibenarkan di dalam poligami, Al-Quran tidak menetapkan bilangan yang terhad kepada empat. Pernyataan "dua dan tiga dan empat" juga terdapat dalam memperihalkan sayap-sayap para malaikat") (Polygamy in Islam Comes ith a Heavy Responsibility - Akbar Ali dalam The SUN 20/1/02) 6.0 ISLAM DIPERSOALKAN Majlis Peguam dengan kerjasama Sisters in Islam dan National Human Rights Society telah menganjurkan Bengkel Festival Hak Asasi sempena Hari Hak Asasi Sedunia pada 8 Disember 2001 di Kuala Lumpur. Suatu rencana berjudul ISLAM THE GREAT DEBATE yang ditulis oleh Sarah Sabaratnam dan Loretta Ann Soosayraj dalam New Straits Times 11 Disember 2001 telah melaporkan beberapa panelis jemputan memberi tanggapan negatif terhadap sistem keadilan Islam. Antaranya: Fatwa dianggap menyekat kebebasan individu dan masyarakat 6.1 ".the right to privacy and freedom of choice was seen to have been violated when the Johor State Government issued a fatwa to compel all Muslim couples intending to marry to go for HIV testing." (".. hak kepada kebebasan memilih dilihat sebagai bercanggah dengan Fatwa yang dikeluarkan oleh Kerajaan Johor yang mewajibkan semua pasangan Islam yang ingin berkahwin menjalani ujian HIV..") 6.2 "Islamic discourse is used to police and control the community." ("Islam adalah wacana yang digunakan untuk mengawal dan mengawasi masyarakat.) [Farish A Noor] 6.3 "He also said that 'public Islam' can erode fundamental liberties, pointing to the case of a nonMuslim trader in Kelantan who lost his right to livelihood when he was penalized for selling food to a Muslim during Ramadhan." (.."Beliau juga berkata 'Islam awam' boleh menghakis kebebasan asasi, dengan mengambil contoh kes yang berlaku ke atas seorang peniaga bukan Islam di Kelantan yang hilang haknya apabila beliau didenda kerana menjual makanan kepada orang Islam di bulan Ramadhan") [Malik Imtiaz Sarwar] Menyatakan diri sebagai muslim atau bukan Muslim dianggap suatu diskriminasi 6.4 "In major national exams such as the PMR, she added, students have to indicate whether they are Muslim or non Muslim. "And yet as many of us know, Islam abhors the idea of assabiyah or ethnic and nationalistic differentiation." ("Di dalam peperiksaan kebangsaan seperti PMR, beliau menambah, pelajar-pelajar dimestikan menulis samada mereka Muslim atau bukan Muslim. "Sedangkan kita semua tahu, Islam menentang asabiyah atau perbezaan etnik dan perbezaan bangsa") [Dr Patricia Martinez] 6.5 "But when Sisters in Islam made its stand on polygamy, Perlis Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim in 1996 declared that they (SIS) were questioning the word of God. . Zainah Anwar, executive Director of Sisters in Islam, says that, because Islam shapes our lives and govern us, it is too important to be left to the legislators and ulama to define." (Tetapi bila Sisters in Islam menyatakan pendiriannya terhadap poligami, MB Perlis Dato Seri Shahidan Kassim pada 1996 mengisytiharkan SIS mempersoalkan kata-kata Tuhan. Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif SIS, menyatakan, "Oleh kerana Islam membentuk kehidupan kita, ia adalah terlalu penting untuk dibiarkan hanya kepada penggubal undang-undang dan ulama untuk menentukannya". ) [Zainah Anwar] Semua tulisan-tulisan sebegini merupakan suatu penghinaan secara langsung ke atas Islam, Rasulullah s.a.w.dan institusi ulama. Selain dari itu badan-badan yang menganjurkan Bengkel tersebut adalah tidak layak untuk membincangkan tentang Islam dan mereka menjemput para panelis yang tidak layak untuk membicarakan topik tersebut termasuk dari yang bukan Islam. Oleh itu pandangan mereka banyak bertentangan dengan Islam dan kadangkala akan menyerang Islam secara langsung. Adalah amat dikesalkan apabila semua pihak merasakan mereka layak dan mampu untuk membicarakan soal Islam dan akhirnya cuma mendatangkan kemudaratan kepada agama suci ini. Umpamanya Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia (HRC) Majlis Peguam Malaysia, Cecil Rajendra telah mengedarkan surat terbuka dalam Mesyuarat Agung Majlis Peguam itu pada tahun 2001 yang telah mengkritik dan tidak mengakui serta tidak mengiktiraf hak kebebasan beragama sebagaimana termaktub dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya beliau dan Jawatankuasa HRC mendesak agar orang-orang Islam boleh keluar dari Islam tanpa sebarang sekatan.Tujuan surat terbuka ini diedar adalah untuk meluluskan suatu usul dalam Mesyuarat Agung Majlis Peguam itu bahawa Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan adalah bertentangan dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia. (Bersama ini dilampirkan bantahan melalui kenyataan akhbar dua badan bukan kerajaan Melayu mengenai isu ini). Kami juga mendapati beberapa akhbar-akhbar dan majalah tempatan berterusan menyiarkan artikel-artikel dalam bentuk sebegini dan mempersoalkan hukum-hukum Islam. Oleh itu kami berpendapat telah wujud suatu perancangan berniat serong dan seolah-olah ada suatu usaha tersusun dari pihak-pihak tertentu untuk menyerang Islam dan institusi ulama di negara ini. Buat makluman Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, perkara ini adalah bertentangan dengan Enakmen-enakmen dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri seperti yang dinyatakan dalam seksyen 7 dan 8, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Kuala Lumpur 1997 yang memperuntukkan bahawa sebarang penghinaan terhadap Islam atau mempersendakan ayat suci al-Quran dan al-Hadith adalah satu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM 5,000 dan dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya. Kandungan yang sama juga termaktub dalam Seksyen 7 dan 8 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996. Buat makluman Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, satu laporan telah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Selangor pada 26 April 2001 mengenai penghinaan Islam oleh seorang penulis dalam akhbar The Sun yang bernama Akbar Ali sebagaimana dilampirkan. Namun sehingga kini kami belum mendapat sebarang maklumbalas mengenai tindakan yang telah diambil tentang laporan yang telah dibuat. Daripada maklumat tidak rasmi yang diperolehi mengatakan bahawa laporan ini telah ditutup tanpa diambil apa-apa tindakan yang sewajarnya. Kini kami telah mendapat maklumat bahawa beberapa individu dan pertubuhan telah tampil membuat laporan tentang penghinaan ulama' dan Islam oleh penulis seperti Farish A. Noor. Laporan telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu kepada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah , Pulau Pinang , Perak, Negeri Sembilan, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kami dimaklumkan tindakan untuk menyiasat dan mendakwa pihak yang berkenaan masih belum dilakukan. Oleh itu kami dengan ini merayu agar pihak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia dapat mengambil tindakan tegas ke atas penulis-penulis tersebut serta pihak yang berkenaan yang menyiarkan tulisan-tulisan tersebut sesuai dengan kehendak agama dan peruntukan undang-undang. Kami merayu agar suatu agenda khas mengenai perkara ini diadakan untuk dibincangkan dan diputuskan tindakan di dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Kami dengan ini juga memohon perkenan untuk mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia selaku Pengerusi Majlis Raja-raja bagi membincangkan perkara yang amat serius ini. Semoga pihak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia akan mempertimbangkan permohonan ini dan kami dengan penuh rendah hati menunggu maklumbalas dari pihak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia. Perhatian Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Kami amat sanjungi. Menjunjung kasih. Hits: