Era Putar Alam Yang Menakjubkan

Sejarah akan merakamkan betapa Mahathir Mohammad adalah seorang 'evil genius' selepas Adolf Hitler. Kepintaran ini terserlah kerana keupayaannya untuk menguasai tampuk pemerintah selama lebih lapan belas tahun tanpa henti-henti. Kalau ada pun orang yang sanggup menentangnya orang itu dapat disingkirkannya dengan tipu muslihat politik yang sungguh licik sekali.

Selama tujuh belas tahun yang lalu semua timbalan perdana menteri telah dapat disingkirkan. ia bermula dengan Musa Hitam,  kemudiannya Tun Ghaffar Baba dan Anwar Ibrahim. Pencabarnya bagi jawatan presiden pada satu ketika dulu, Tengku Razali Hamzah telah dapat dikalahkannya dalam satu episod yang menakjubkan juga kerana Tengku Razali tertipu dengan apa yang ditakrifkan undi hantu.  Kekalahan itu telah mendesak Tengku Razali keluar daripada UMNO bersama beberapa pemimpin yang  'berwibawa' seperti  Harun Idris, Musa Hitam, Rais Yatim, Abdullah Badawi, Zainal Abidin Zain,  Osman Manan, Marina yusuf, Rahmah Osman dan ramai lagi. Mereka menubuhkan Semangat 46 dan cuba menjatuhkan Mahathir dari luar.

Ini mencetuskan krisis dalam parti sehinggakan menggugat  UMNO yang dilahirkan pada 1946 dulu. Untuk memperkuatkan kedudukannya Mahathir telah melancarkan 'Operasi Lalang' pada tahun 1987.  Seramai 68 pemimpin rakyat telah ditangkap di bawah akta ISA dan dipenjarakan. Ini termasuk Lim Kit Siang dan Dr. Chandra Muzaffar.  Operasi ini telah disusuli oleh pemansuhan UMNO yang dilahirkan pada 1946 itu. Hakim Harun Hashim telah membuat keputusan mahkamah itu. Tetapi, pada Februari 1988 Mahathir telah bertindak menubuhkan UMNO (Baru) 

Pada tahun yang sama Tun Salleh Abas telah dipecat sebagai Lord President. Di tahun yang sama Malaysia menyaksikan pemergian dua bekas Menteri Kewangannya yang lama; Tun H. S. Lee dan Tun Tan Siew Sin.

Pemerintahan Kuku Besi

Peristiwa yang membabitkan hukum undang-undang telah mematangkan Mahathir. Dia pun membuat pelbagai tindakan lagi untuk memperkuatkan kuasa. Pada 1989 Parti Komunis Malaya telah berdamai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand. Ini memberikan  satu tahap megah-diri yang tidak terbilang nilainya kepada Mahathir. Dia mula menunjukkan keberaniannya di pentas antarabangsa.

Tindakannya membendung penjualan barang buatan Inggeris di Malaysia pada satu ketika dulu telah meyakinkan dunia luar bahawa Mahathir adalah seorang pemimpin dunia ketiga yang disegani. Mereka mula memuji keberaniannya terutama sekali segala projek tajaannya seperti pembikinan kereta nasional, lebuh raya menggunakan tol,  sistem LRT daripada Petaling Jaya ke Sentul, pelaburan Malaysia yang pesat di dunia ketiga yang lainnya dan pelbagai projek mega lain yang memerlukan wang yang banyak.

Pembikinan Projek yang Membazir

Setiap projek besar memerlukan belanja yang besar juga. Mahathir terus mahukan projek itu tanpa memikirkan implikasi kewangannya. Dia mempunyai sumber kewangan yang mantap ketika itu dalam bentuk hasil yang dikumpulkan oleh PETRONAS. Oleh kerana "aktiviti Petronas adalah tertakluk kepada budi bicara seorang Perdana menteri tanpa perlu merujukkannya kepada sesiapa terlebih dulu," Mahathir telah berjaya membuat pelbagai projek mega dengan modal yang sedia ada. Keresahan rakyat tentang kerakusannya itu tidak menjadi igauan kepadanya.

Perkara ini  dipermudahkan lagi dengan adanya media massa yang semuanya di bawah kawalannya secara terus. Segala suara sumbang yang mengkritiknya dapat dipatahkannya dengan mudah melalui media cetak dan media elektronik. Rakyat menjadi semakin bingung dengan gelagatnya itu.

 Kronisme, Kolusi dan Korupsi

Oleh kerana diberikan satu 'carte blanche' dalam memimpin negara, ia menjadi semakin rakus. Setiap projek besar  yang ditajanya mempunyai beberapa syarat tertentu bahawa projek itu dikendalikan  oleh orang-orang pilihannya, tidak kiralah sama ada orang ataupun golongan itu berkelayakan ataupun tidak.

Kerakusan Mahathir itu telah dikesan oleh beberapa golongan rakyat yang kemudiannya menggelarnya sebagai 'Firaun' ataupun 'MAHAFIRAUN'. Inilah satu gelaran yang diperakui sendiri oleh diktator tua itu. Oleh kerana beliau mempunyai sokongan yang kuat daripada para pemimpin Barisan Nasional, MAHAFIRAUN telah berupaya mengendalikan pentadbiran negara ini tanpa banyak masalah. Ini adalah disebabkan kuasa majoriti yang besar yang diperolehi oleh Barisan Nasional dalam parlimen.

Pihak pembangkang yang sentiasa mengungkit projek yang banyak membazirkan wang rakyat itu, tidak mampu menyingkirkan MAHAFIRAUN daripada tampuk kerajaan itu. Kerana itu MAHAFIRAUN kerap berada di luar negara dan bersuara lantang menghadiri seminar bertaraf antarabangsa.  Di majlis besar peringkat antarabangsa itulah beliau kerap bersuara lantang mengkritik negara besar dan pemimpin kuasa besar. Kritikan pedasnya itu kerap menerima liputan akhbar luar negara kerana mereka sememangnya mahukan isu seperti itu untuk melariskan penerbitan mereka.

Di waktu yang sama MAHAFIRAUN telah menggunakan keterampilannya di majlis luar negara itu untuk memajukan para juak dan kroni mendapatkan peluang perniagaan di peringkat antarabangsa. Hasilnya muncullah pelbagai jenis projek di negara luar hasil sokongan MAHAFIRAUN itu. Pengaliran wang tunai dari Malaysia ke negara luar. Semua projek besar di negara luar oleh syarikat dan individu Malaysia telah memaksa pengaliran wang tunai daripada negara ini. Wang itu tidak semestinya dipunyai oleh orang individu. Kebanyakanya adalah kepunyaan syarikat Malaysia yang tersenarai di papan bursa saham KLSE.

Taktik ini telah memberi kekayaan yang paling cepat bagi para peneraju setiap projek kerana  nilai yang sengaja ditinggikan untuk memberikan keuntungan besar bagi orang yang merencanakannya. Para pemegang saham syarikat yang terbabit tidak pun dapat mengesannya kerana kebanyakan syarikat  itu sedang mengalami nilai harga yang baik. Ini berlaku disebabkan  harga saham  yang sengaja dinaikkan. Pasar saham BSKL yang bertaraf kasino yang dihalalkan Kegiatan menaikkan harga saham di BSKL menjadi rancak kerana adanya konspirasi untuk sengaja menaikkan beberapa harga saham secara berpilih-pilih setiap hari.

Taktik ini dapat dilakukan dengan mudah kerana sifat pelaburan di pasaran itu yang amat berbeza dengan sifat pelaburan di pasaran yang besar di negara luar. Kebanyakan pasaran saham di negara maju  nisbah pecahan pelaburannya adalah bersifat  enam puluh peratus bagi pelabur institusi, tiga puluh peratus bagi pelabur runcit dan sepuluh peratus bagi pelabur proksi secara jangka panjang. Tetapi, di bursa saham Kuala Lumpur BSKL nisbah komposisi pelaburan ialah lebih condong ke arah para pelabur runcit. Kelazimannya nisbah pelaburan itu adalah 60% pelabur runcit, 20% pelabur institusi dalam negara dan 20% pelabur institusi ataupun proksi dari luar negara. Nisbah ini adalah satu keunikan yang ada pada BSKL sejak lama lagi.

Sensitiviti

Pasaran Saham yang dipengaruhi pelabur runcit Sebuah pasaran saham yang dikuasai oleh pelabur runcit adalah laksana sebuah kasino yang halal. Ini adalah disebabkan kecenderungan para pelabur runcit mencari keuntungan yang cepat tanpa mengira panduan pelaburan yang tertulis dalam buku pelaburan. Kecenderungan ini adalah disebabkan sifat pasaran saham itu yang sentiasa berubah laksana angin di musim tengkujuh. Pelabur runcit yang 'bermain saham' dengan sistem kontra terpaksa melakukan penjualan setiap kali munculnya keuntungan yang berpadan.  Tingkah laku ini adalah didorong  kepada pengawasan risiko pelaburan yang bergantung kepada wang yang dipinjamkan kepadanya. Pinjaman itu mempunyai risiko masa yang terhad kepada lima hari sahaja. Apa gunanya menunggukan  tempoh luput lima hari perniagaan kalau pembelian sudah mencetuskan keuntungan yang berpadan?

Oleh kerana sistem kontra itu memberikan ruang bermain saham dengan ciri-ciri perjudian, para peruncit mudah terpukau dengan keadaan pasaran yang terus naik setiap hari. Lonjakan saham pula adalah mengikut sentimen pasaran yang sentiasa naik mengikut cara pasaran itu dipacu oleh sindiket yang mengeksploitasi sesuatu pasaran itu.

Konspirasi memacu Pasaran Saham BSKL

Mengikut seorang pakar saham, pasaran saham bolehlah diibaratkan laksana lautan yang luas terbentang. Ombak yang bergelora di lautan adalah laksana sentimen pasaran yang dipacu oleh emosi manusia. Sesuatu kaunter saham pula adalah laksana kapal layar yang berada di lautan itu. Turun naik harga sesuatu kaunter saham itu adalah dikuasai oleh beberapa faktor seperti emosi manusia (lautan) dan kekuatan emosi sindiket yang memacu sesuatu kaunter itu (angin yang berkencang), jumlah putaran niaga setiap kaunter (muatan kapal layar itu) dan kuasa jual beli yang disebabkan pembelian yang dibuat lebih awal (tali sauh yang dicampakkan ke dasar laut).

Kalau dinilai akan semua aktibiti yang mengendalikan pergerakan sebuah kapal layar di lautan itu, maka kita akan sedar bahawa sesuatu kaunter saham itu bergerak mengikut emosi manusia yang berkemungkinan besar mengawal pergerakan sesuatu kaunter tersebut.  

Dengan hal yang demikian, seorang yang pakar dengan pasaran saham boleh meraih keuntungan yang berpatutan kalau dia bersedia meraih keuntungan yang kecil pada setiap hari niaga pasaran itu. Perkara ini amat cocok dengan pelaburan runcit tetapi tidak serasi dengan pelaburan institusi ataupun pelaburan jangka panjang. Disebabkan ciri-ciri permainan saham, demikianlah makanya pasaran BSKL itu sentiasa bergelora terutama sekali apabila hari perniagaan itu semakin hampir dengan hari lebaran. Kebanyakan para peruncit tidak suka menyimpan pegangan mereka menjelang lebaran.  Pegangan yang bersifat 'overnight purchase' adalah merupakan pembelian para pelabur institusi.

Bila BSKL merudum

Sentimen pasaran saham di sesuatu negara  mempunyai hubung kait yang rapat dengan sentimen pasaran global. Sentimen ini dipengaruhi pula oleh perbezaan waktu berniaga di antara pasaran di Asia dengan pasaran di Eropah dan pasaran di Amerika. Pedoman sentimen yang paling ketara ialah Indeks pasaran.  Indeks pasaran dipengaruhi juga oleh jumlah turun naik saham pilihan dalam sesuatu pasaran itu.

Selalunya pasaran di Asia banyak dipengaruhi oleh indeks pasaran di Wall Street dan pasaran Wall Street pula dipengaruhi juga oleh prestasi beberapa pasaran di Eropah. Hubung kait yang amat ketara inilah yang mempengaruhi pasaran BSKL, terutama sekali apabila pasaran kita bermula sedikit lewat daripada pasaran di Australia dan New Zealand, Jepun dan Hong Kong dan juga (untuk suatu waktu yang sudah pun disamakan) Singapura. Kecanggihan elektronik membolehkan pembelian dibuat oleh pembeli dengan menggunakan syarikat proksi. Pembelian cara ini dibuat untuk melindungi identiti si pembeli ataupun untuk dijadikan sebagai kamoflasy (camouflage) bagi kerja-kerja mengeksploitasi keadaan sesuatu pasaran. 

Kepintaran mengeksploitasi pasaran membolehkan sesuatu sindiket itu membuat keuntungan yang cepat dan tinggi pada sesuatu masa tertentu. Namun kegiatan ini hanya dapat dibendung kalau adanya ulangan aktibiti itu dalam satu waktu yang singkat di mana aktibiti itu menjadi ketara. Apabila pelabur runcit dapat mengesan aktibiti mengeksploitasi sesuatu kaunter itu, ia akan mencetuskan satu situasi di mana pelabur runcit yang lain akan turut serta. Ini mencetuskan satu situasi di mana  kaunter yang terbabit dipacu naik dengan derasnya. Akan tetapi, sebagaimana yang lumrah dalam pasaran, seseorang yang bersedia mengimpikan keuntungan besar dalam pasaran saham semestinya bersedia juga mengigaukan kerugian besar dalam pasaran yang sama. Inilah falsafah pelaburan di pasaran terutama sekali kala pelaburan itu bersifat runcit dan dibuat secara kontra.

Dengan hal yang demikian, apabila pasaran BSKL merudum, ramailah para pelabur yang kerugian besar. Kerugian ini boleh juga membabitkan para pelabur yang mencagarkan saham mereka  untuk meminjam wang bagi pembelian saham yang lain.

Fenomena 'Double Whammy'

Apabila seorang pelabur mencagarkan sahamnya  kepada bank ataupun institusi kewangan untuk mendapatkan tambahan wang modal, ia akan mengalami taufan kemuflisan disebabkan fenomena 'double whammy'. Pinjaman yang berdasarkan harga saham  yang dicagarkan menjadi tergugat kerana harga saham asal sudah pun merudum begitu jauh sehinggakan memaksa peminjam mencagarkan saham tambahan untuk menampung nilai nisbah pinjaman yang sudah pun berubah. 

Di waktu yang sama pembelian yang dibuat dulu sudah pun memberikan kesan negatif kerana nilai saham itu sudah pun merudum juga. Fenomena ini adalah laksana seorang penunggang kuda yang terjatuh dari tunggangannya dan dipijak pula oleh tunggangannya itu. Inilah fenomena yang meranapkan BSKL dan memufliskan begitu ramai pelabur di pasaran itu. Kesan kerugian itu dijangka akan berterusan untuk beberapa tahun lagi. Malahan ramai yang sudah pun menjadi arwah kerana membunuh diri ataupun terlantar di atas katil kerana serangan angin ahmar.

Bila Kroni Tersepit

Implikasi yang amat ketara disebabkan pasaran yang merudum telah dialami oleh para konglomerat yang mempunyai banyak syarikat yang didaftarkan di pasaran saham. Sudah pasti fenomena 'double whammy' menyerang mereka dengan teruk sekali.  Kalau mereka merupakan tuan punya syarikat yang besar-besar di pasaran saham, penglibatan mereka dengan mencagarkan saham persendirian di pasaran itu sudah pasti membuatkan mereka muflis dalam satu masa yang amat singkat sekali.

Sekarang, cuba bayangkan apa yang boleh jadi kepada seorang ahli korporat yang mempunyai lebih dari 50 syarikat yang tersenarai di pasaran saham? Kalau kita mahu mengambil sikap kurang ajar kita boleh ubahsuai soalan itu seperti ini: 'Bayangkan apa jadi dengan anak-anak MAHAFIRAUN ketika BSKL merudum?' Jawapannya ialah 'Sudah pasti mereka menjadi muflis.'

Fenomena Kucing Melepas

Dalam dunia pasaran ada satu undang-undang yang tidak bertulis yang berbunyi; " Do not love your stocks, love your families more!" amat bertepatan sekali maknanya. Dosa yang paling besar bagi seorang pemain saham ialah mengaitkan perasaan cinta yang amat dalam terhadap saham yang dibelinya. Seorang pemain saham yang pintar tidak akan menyimpan sahamnya untuk bakal hari tua. Ia akan melepaskan pegangannya setiap kali dia sudah meraih keuntungan.

Di waktu yang sama dia akan melepaskan pegangannya jika saham itu menurun. Untuk membeli saham ketika ia sedang turun adalah laksana menyambut pisau yang sedang jatuh menjunam (catching the  falling knives). Sebarang usaha untuk menahan kejatuhan saham yang sedang merudum adalah laksana kucing yang mahu melepas. Dia akan menghidu persekitaran tempat dia mahu melepas itu dan menggali sedikit tanah untuk memberi ruang menampung benda yang hendak digugurkannya. Apabila merasa lega dengan yang dilepaskannya itu dia akan mengaut tanah tadi untuk menutupinya.

Perangai yang sama selalu dilakukan oleh peruncit yang melabur di pasaran saham. Oleh kerana dia banyak membeli pelbagai jenis saham, setiap kali dia cuba menutup sesuatu kerugian yang berlaku pada satu jenis kaunter, dia akan kerugian. Perbuatan ini adalah laksana seekor kucing yang melepas secara berurutan di satu tempat yang sempit. Besar kemungkinannya usaha untuk menutup tempat lepasan yang baru itu membabitkan taik yang baru ditutupnya di tempat yang berdekatan.

Drama Melepaskan Melayu Tersepit

Keadaan pasaran yang merudum secara mengejut telah membuatkan ramai pelabur besar berbangsa Melayu yang menjadi 'overnight bankrupt'.  Mereka menjadi muflis di atas kertas dan kalau tidak diselamatkan pasti menjadi muflis untuk selamanya. Oleh kerana ramai pelabur Melayu ini adalah tergolong dalam kelab Kroni MAHAFIRAUN, kemuflisan yang mereka alami itu telah meruntunkan beberapa bank yang terkenal di bandar raya. Jumlah kerugian mereka yang sebenar tidak pun diketahui dan tidak mungkin akan terbongkar selagi MAHAFIRAUN masih berkuasa.

Kerugian ini memberikan satu masalah besar kepada beberapa bank yang terkenal. Undang-undang perbankan mahukan mereka menyimpan sejumlah wang tunai mengikut peraturan yang ditetapkan. Apabila nilai saham yang disimpan sebagai cagaran menurun harganya, ia terus merubah nilai nisbah yang menggugat keutuhan bank tersebut. Jalan yang paling cucok ialah meminta para peminjam  yang besar itu membawa masuk wang tunai ke dalam akaun mereka. Falsafah perbankan yang amat popular ada menyebut; "Apabila seorang peminjam kecil tidak mampu membayar hutangnya kepada bank, masalah itu adalah tanggungannya. Tetapi kalau seorang peminjam wang yang banyak tidak mampu menjelaskan hutangnya masalah itu adalah tanggungan pihak bank yang memberikan pinjaman padanya." 

Senario ini sudah menjerat banyak bank di Kuala Lumpur dan juga di bandar yang besar di merata negara ini. Keadaan kritikal semakin memuncak kerana ramai yang berhutang besar adalah para kroni yang amat rapat dengan MAHAFIRAUN. Beliau tidak mempunyai pilihan lagi melainkan memberi bantuan kepada mereka. Pergeseran antara MAHAFIRAUN dan DSAI Orang dulu-dulu pernah berjenaka: "lauk basi kalau tidak ditutup pun tidak siapa yang boleh menghidunya. Tetapi, taik kucing walau  sudah ditutup, kalau terpijak berbau juga."

Demikianlah terbentangnya drama Melayu moden secara terpaksa.  Usaha untuk melepaskan bebanan yang dialami oleh sebilangan besar ahli korporat Melayu dari cengkaman pasaran BSKL yang merudum telah mencetuskan satu opera yang membabitkan MAHAFIRAUN bersama para juakknya di satu pihak dan DSAI di satu pihak yang lain. Anwar telah disogokkan peranan 'hero' sedangkan MAHAFIRAUN telah mengambil peranan 'Maharajah' yang mahu menyelamatkan satu kapal-tongkang para bajingan yang bertopengkan jin Islam.

Di atas desakan beberapa pihak yang tidak kita ketahui akan bilangan dan latar belakang mereka MAHAFIRAUN telah mengarahkan Anwar untuk membantu semua bajingan itu. Sebagai seorang insan yang memang dikenali rapat dengan ajaran Allah, Anwar sudah pasti memberontak dan enggan akur. Dia lebih berkeyakinan membiarkan takdir menentukan nasib para bajingan itu. Berlakulah satu pertembungan dua personaliti Melayu yang merupakan pemegang jawatan tertinggi dalam pucuk kepimpinan negara ini. Tercetuslah satu senario di antara seorang guru politik yang pintar dan licik bertembung dengan anak muridnya yang sanggup ingkar untuk menegakkan kebenaran. Tanpa disedari oleh Anwar, MAHAFIRAUN sudah pun menjangkakan berlakunya pertembungan itu. Lantas DSAI telah dijebak dengan satu perangkap yang sememangnya sudah lama sedia terpasang.

Implikasinya DSAI kini merengkok dalam satu bilik yang berjejari besi sedangkan orang yang sebenarnya bersalah berada di luar bebas sebebasnya menghirup udara nyaman dan sentiasa segar.

-MT-
31.12.1999.

Hits: