APA ADA PADA RAJA-RAJA?
Institusi raja-raja menjadi kucar-kacir setelah MAHAFIRAUN berjaya mengekang
kebebasan raja-raja Melayu. Mereka kini mempunyai satu bidang kuasa yang
bersifat 'ceremonial' semata-mata. Rakyat yang pada satu ketika dulu
menganggap raja-raja sebagai lambang penyatuan bangsa dan mercu tanda ketuanan
Melayu turut terpukau dengan gelagat MAHAFIRAUN memperkecilkan singgahsana
raja-raja itu sehinggakan mereka menganggap bahawa singgahsana itu sudah pun
kini beralih ke Putra Jaya. Keyakinan rakyat akan pudarnya kuasa raja-raja itu
didorong lagi dengan pembikinan sebuah mahligai di Putra Jaya yang dikatakan
hanya berharga tujuh belas juta.
Hubungan Benci tetapi rindu
Sebenarnya hubungan antara rakyat dengan raja-rajanya bolehlah disifatkan
sebagai hubungan yang dipaksa. Rakyat yang sudah lama ditindas oleh kuasa
politik yang dipimpin MAHAFIRAUN telah mengabaikan institusi raja-raja itu yang
disebabkan perangai yang dipertontonkan oleh golongan istana itu sendiri.
Hubungan itu bolehlah dikatakan satu hubungan benci tetapi rindu. Perkara ini
berlaku kerana faktor berikut:
- Raja yang sedang berkuasa sebenarnya sudah terlalu renggang dengan
rakyatnya. Mereka sibuk dengan masalah hidup mereka sedangkan rakyat pula
sibuk dengan masalah mereka. Rakyat telah menganggap bahawa hubungan mereka
dengan raja-raja lebih baik diserahkan sahaja kepada wakil rakyat dan
kerajaan negeri. Bukannya rakyat perlukan tanda tangan raja-raja untuk
memohon sesuatu yang boleh memperkayakan mereka.
- Institusi raja-raja itu sendiri kelihatan lemah kerana tidak ada seorang
raja ataupun sultan yang lebih menonjol di kalangan mereka yang boleh
memberikan satu kepimpinan yang terserlah. Apabila keadaan ini terus
berpanjangan, ia memberi ruang yang luas untuk MAHAFIRAUN memperlekehkan
institusi raja-raja itu tanpa ada segelintir rakyat yang mahu mempertahankan
keaiban yang dilakukannya. Dalam hal ini MAHAFIRAUN telah menunjukkan
kelicikannya. Beliau telah membocorkan pelbagai cerita yang kurang sopan
tentang peri laku segelintir raja-raja yang sememangnya berbuat
perangai yang tidak setanding dengan status mereka. Bayangkan ada raja yang
kalah berjuta-juta ringgit di kasino dan memerlukan kerajaan negeri menebus
kerugian itu. Ada pula raja yang membawa masuk kereta dari luar tanpa
membayar cukai dan kemudiannya menjualkan kereta itu pada orang China dengan
harga yang menguntungkan. Ada pula raja yang gilakan betina sehinggakan
sanggup berasmara secara rahsia dalam kontena yang membawa kuda.
- Generasi muda masyarakat istana tidak pun mengambil pusing akan hal ehwal
rakyat. Mereka seolah-olah sedang bersiap sedia untuk menghadapi satu alaf
baru di mana darah raja yang mengalir di tubuh mereka itu dianggap sebagai
satu perkara biasa oleh rakyatnya. Dengan lain perkataan generasi pelapis
ini seolah-olah tidak berapa menghiraukan kedudukan mereka yang dimuliakan.
Ramai antara mereka tidak pun tahu bersembahyang dan mengenal budaya ibunda
mereka kerana terlalu lama dibesarkan di negara orang putih. Perangai mereka
yang memperlekehkan budaya yang dianggap suci oleh rakyat menyebabkan rakyat
bertindak balas dan tidak menghiraukan langsung generasi pelapis masyarakat
istana itu.
- Kerakusan golongan istana terhadap khazanah negara telah membuatkan rakyat
semakin mual melihatkan telatah mereka. Rakyat sudah kurang pasti apakah
institusi raja itu layak dijadikan lambang ketuanan Melayu di alaf baru?
Keraguan rakyat ini sebenarnya menunjukkan betapa berjayanya MAHAFIRAUN dan
UMNO dalam mengganyang institusi raja dengan segala dakyah yang
memperlekehkan mereka. Sememangnya UMNO dan MAHAFIRAUN mahu menghapuskan
institusi raja-raja itu dengan muslihat untuk menggantikannya dengan
institusi republik. Bayangkan apa yang akan jadi kalau semua raja-raja
dipencenkan? Bukankah Malaysia boleh dibentuk seperti kerajaan Amerika
ataupun beberapa negara Latin Amerika seperti Argentina, Peru, Mexico,
Brazil dan sebagainya.?
Kesilapan besar raja-raja
- Golongan istana memang sudah tidak sedarkan diri. Mereka sendiri menjadi
satu masyarakat yang berada dalam satu kelompok kecil yang bercelaru.
Rancangan memperlekehkan mereka secara bertubi-tubi sudah membuatkan golongan
istana itu lupa akan apa peranan mereka sebenarnya dalam sistem ketuanan
Melayu.
- Budaya sabsidi yang berlebihan yang disogokkan kepada keluarga istana
telah membuatkan mereka lupa daratan. Mereka mudah menganugerahkan darjah
kebesaran kepada sesiapa yang tahu menyogok mereka pula. Kerana itu kita
dengar bagaimana seorang China yang tidak berpelajaran boleh menerima gelaran
istana dan digelar sebagai 'Datuk'. Malahan ada seorang pemanjat
kelapa di Chaah yang pernah diberikan gelaran oleh seorang Sultan kerana
mendengar nasihat seorang wakil rakyat. Jasa sebenar pemanjat kelapa itu
bukannya kepada sultan itu tetapi kepada wakil rakyat berkenaan.
- Ramai orang Melayu yang terhiris hati bila memikirkan betapa raja-raja
suka berpoya secara bebas dan merendahkan ajaran agama anutan mereka.
Pernah tercetus satu cerita bagaimana seorang sultan yang suka berjudi di
London kerap berhenti untuk bermalam di Dubai semata-mata untuk
membolehkannya melepaskan nafsu kepada seorang pramugari yang diatur
untuk bertugas dalam penerbangan yang dirancangkan itu. Ada kalanya sultan
itu akan memilih salah seorang pramugari itu ketika dalam penerbangannya.
Hobi terkutuk ini diketahui oleh ramai kakitangan penerbangan MAS dan juga
ahli diplomatik di Dubai, kerana mereka bertanggungjawab membuat persediaan
tempahan bilik hotel untuk sultan itu.
- Gelagat suka berpoya-poya itulah yang kerap mencuit hati rakyat.
Apatah lagi kalau golongan istana suka sangat dengan para artis yang berdahi
licin, tidak kiralah kalau artis itu mempunyai pengajian agama yang tinggi
ataupun tidak. Rakyat manakah yang tidak terhiris hati melihatkan gelagat
ahli istana yang terlalu buas nafsunya? Ada pula anak raja yang memikirkan
bahawa dia keturunan daripada angkasa. Kalau dia memandu kereta dia mahu
menentukan tidak ada sesiapa yang berani menandingi kelajuan keretanya.
Kalau dia bersukan dia mahu setiap bola pukulannya itu dibiarkan
sahaja bergolek ke gawang gol oleh penjaga gawangnya. Lantas
berlakulah insiden betapa seorang anak raja menampar seorang penjaga gol
semata-mata kerana penjaga gol itu bersukan mengikut semangat kesukanan
sedangkan anak raja itu bersukan untuk memuaskan semangat kegilaan yang
diwarisi dari ayahandanya. Ada pula raja yang sedang memerintah yang
diketahui oleh rakyatnya mempunyai IQ yang rendah cuba memandai-mandai
mentadbir negara laksana orang politik yang bijaksana. Akibatnya rakyat
menjadi bingung lagi apabila raja melatah disebabkan jolokan is permaisuri.
Ada pula raja yang suka keluar negara untuk berubat, di musim rakyat
mengerjakan ibadat berpuasa. Sedangkan penyakitnya itu mudah sekali
diberikan rawatan oleh rakyat yang sudah pun pintar melakukannya. Ada
pula ahli istana yang lebih suka mengelilingi dunia daripada mengelilingi kampung dan desa dalam kawasan taklukannya. Inilah yang menyebabkan ramai
anak raja yang terpesona dengan pelayan kedai makan sedangkan ramai anak
dara sunti di kalangan bangsa sendiri yang tinggi pelajarannya yang
sepatutnya dijadikan permaisuri.
- Apabila golongan istana dibenarkan berpoya-poya
seperti itu mereka tidak
pun mempunyai masa untuk menegakkan institusi raja itu sebagai satu
institusi yang disegani yang menentukan kemunculan warisan raja-raja yang
berkaliber. Kalau mereka sendiri tidak berminat untuk memikirkan masa depan
mereka, apakah mereka mengharapkan rakyat untuk memikirkannya ?
- Kekurangan sensitiviti terhadap masa depan mereka itu menyebabkan
institusi raja itu berada di satu keadaan yang statik. Lantas kita masih
melihatkan warga istana yang menjawat jawatan Pawang Dalam dan Pawang Luar
semata-mata mengikut tata susila tugas warga istana di zaman purba. Siapakah
membayar gaji segala inang-inang dan pawang dan dukun yang berkarat di
istana itu, kalau bukan rakyat jelata? Siapakah pula yang mengongkosi
kegilaan raja-raja yang mempertahankan budaya Hindu lama dalam tata susila hidup mereka?
Sebagai rumusannya kita boleh katakan sistem feudal yang menjadi
tunggak institusi raja-raja dibiarkan terus tegak oleh kerajaan MAHAFIRAUN dengan tujuan
untuk memperlekehkan institusi raja itu. Dengan cara ini ia memungkinkan
UMNO pada satu hari nanti menggantikan institusi itu sebagai tunggak ketuanan
Melayu. Adalah amat malang sekali seandainya perkara ini berlaku.
Kalau kita lihat situasi politik di Indonesia, kita sedar betapa pentingnya
institusi raja itu untuk menentukan kejituan martabat Bangsa Melayu di hari
muka. Berdasarkan jurang pemisah yang semakin melebar di antara UMNO dan parti
Melayu yang lainnya kita boleh menjangkakan betapa institusi raja Melayu akan
memainkan peranan yang besar di satu hari kelak. Cuma para pendokong institusi
itu harus sedar dari khayalan mereka bahawa merekalah yang sepatutnya berdiri
tegak mempertahankan apa yang dikatakan kedaulatan raja-raja Melayu itu sendiri.
Keadaan ini semakin genting kalau raja-raja tidak insaf betapa sebilangan besar
rakyat hanya sanggup berdiri senyap sebagai saksi-saksi yang tidak diundang
ketika institusi raja itu jatuh berkecai disebabkan keangkuhan dan perbuatan
mereka yang sumbang.
-MT-
Hits: