APABILA RAKYAT MULA RESAH GELISAH

Tindak tanduk golongan raja-raja yang lupa daratan membuatkan rakyat semakin renggang dengan golongan itu disebabkan kekecewaan yang bukan kepalang. Perkara ini dipermudahkan lagi apabila bahasa istana tidak lagi didedahkan kepada rakyat biasa di sekolah-sekolah. Apabila golongan raja-raja itu sendiri tidak mengambil berat dengan faktor-faktor yang boleh menjamin status quo mereka, apakah yang diharapkan kepada rakyat yang semakin jelak dengan telatah mereka itu? Apakah mungkin perasaan benci tetapi rindu boleh dibiarkan berpanjangan semata-mata disebabkan keadaan yang bertujuan menjamin ketuanan Melayu?

Akan tetapi, kelunturan hormat dan taat-setia  rakyat terhadap raja-rajanya adalah merupakan satu eksploitasi yang dibuat dengan cara bersistem oleh parti yang memerintah. Ia boleh dianggap sebagai satu konspirasi yang direncana oleh MAHAFIRAUN bersama beberapa individu pilihannya. Sebahagian besar konspirasi itu termasuklah membina sebuah mahligai yang indah di mana harga sebenarnya dikatakan mencecah RM600 juta sedangkan kenyataan rasmi kerajaan hanya mencatatkan angka RM17 juta sahaja.

Adalah menakjubkan apabila rakyat terjumpa dengan konspirasi menggulingkan institusi raja itu secara tidak sengaja. Ia terdedah apabila DSAI membukakan kotak rahsia betapa mahligai itu dibina. Ia menyerlahkan betapa kos sebenar yang dapat memperkayakan orang pilihan yang dipertanggungjawabkan membina dan membekalkan barang keperluan  mahligai itu. Rakyat jadi tersentak seolah-olah tersedar daripada tidur mereka. Rupanya MAHAFIRAUN sudah bersedia untuk kekal memerintah dan mewujudkan satu dinasti pemerintahan yang akan diwarisi oleh anak-anaknya.

Diktator sepanjang hayat?

Seperti yang dituliskan dalam penulisan "Strategi Kodi Penegak Dinasti", MAHAFIRAUN telah menunjukkan kelicikannya berpolitik sekali lagi. Setiap kali dia memberikan kata-kata pujian kepada seorang timbalan perdana menteri, ia sebenarnya sudah merancang untuk mengnyahkan pemegang jawatan itu dengan apa cara sekali pun. Doktrin Machevalian yang diamalkan oleh MAHAFIRAUN itu telah menghalalkan apa juga cara yang dapat menjaminkan  pemerintahannya di negara ini. Dengan lain perkataan, untuk sekian lama dia memegang kuasa MAHAFIRAUN sebenarnya mahu menjadi seorang perdana menteri sepanjang hayatnya.

Malahan dia lebih bersedia menjadi seorang presiden pertama Malaysia sepanjang hayatnya juga. Yang amat nyata sekarang, MAHAFIRAUN sebenarnya sudah pun mempunyai segala 'managerial infrastructure' untuk mentabalkan dirinya sebagai seorang diktator sepanjang hayat negara ini yang pertama.

Tercetuskah revolusi rakyat?

Rakyat semakin jelek dengan perangai MAHAFIRAUN. Mereka semakin mual dengan perangai para juaknya terutama sekali apabila rakyat semakin percaya betapa ramai calon Barisan Alternatif yang telah kecundang di pemilu-10 dulu adalah disebabkan taktik kotor yang dikendalikan oleh MAHAFIRAUN dan orang kepercayaannya. Maka bergegarlah suara rakyat yang sekian lama berreformasi mahukan kemunculan 'REVOLUSI' pula. Sekali lagi orang Melayu silap dalam congak politik mereka. Mereka alpa bahawa perjalanan tamadun sesuatu bangsa itu perlu melalui beberapa fasa tumbuhannya sebelum perkataan 'Revolusi' itu menjadi satu perkataan keramat yang merubah nasib sesuatu bangsa.

Keputusan pemilu ke-10 yang mengaibkan martabat Melayu dan memalitkan maruah UMNO  merupakan hanya sebahagian keaiban yang menghantui Bangsa Melayu itu di abad ke-20. Dalam keghairahan orang Melayu mahukan satu revolusi menentang pemerintahan Mahathir mereka sebenarnya sedang berkabung di atas keaiban maruah bangsa yang dipalitkan dengan terhukumnya DSAI ke dalam penjara. Majoriti orang Melayu menjadi geger dan hilang arah  menghadapi satu cabaran besar yang disebabkan tercemarnya maruah bangsa yang  disebabkan kerakusan dan kedurjanaan seorang diktator tua.

Walau pun laungan 'Undur Mahathir' dan 'Hancur UMNO' serta 'revolusi diselangselikan setiap hari oleh majoriti besar anak Melayu, sejarah akan menentukan bahawa semangat revolusi itu tidak akan muncul dengan cara gelombang emosi yang dicetuskan oleh laungan semata-mata. Revolusi rakyat tidak akan tercetus di kalangan orang Melayu selagi bangsa Melayu itu hidup senang lenang, mempunyai rumah membumbungi tidur dan mimpinya. Orang Melayu tidak akan memberontak untuk merubah keadaan sosialnya selagi dia ada cukup selera untuk makan dan cukup bahan untuk menyelerakan nafsunya.

Faktor pergolakan reformasi rakyat

Sebenarnya orang Melayu masih lagi di tahap bawahan kalau dikira bidang  reformasi sosial bangsa itu. Kita telah diajar betapa revolusi perindustrian yang dicetuskan di kalangan orang England telah mematangkan mereka menjadi satu bangsa yang mengembangkan kawasan jajahan mereka di seluruh penjuru dunia. Sejarah Peranchis telah mengajar kita betapa Revolusi Sosial rakyatnya telah mematangkan mereka untuk menjadi satu bangsa yang bebas daripada cengkaman kerajaan feudal dan membolehkan mereka hidup bebas bertunjangkan konsep  kebebasan rakyat. Mereka juga menjadi satu bangsa yang menjajah beberapa tanah luar negara yang dikenal sehingga kini sebagai dunia Francophone.

Bangsa China telah mencetuskan revolusi ubat-bedim (gunpowder revolution) yang menyusuri kejayaan mereka mencipta kertas, mi dan mihun, mercun dan roket. Cuma mereka tidak segigih orang Eropah dalam usaha menakluki dunia kerana masalah dalaman yang dicetuskan oleh kawasan pemerintahan maharajah yang terlalu luas dan bilangan penduduk yang berbilang suku-kaum. Namun, mereka berjaya mengembangkan pengaruh mereka ke pelusok dunia dengan merestui penghijrahan bangsa mereka untuk menetap di negara asing.

Sebagai perbandingan dan berdasarkan jumlah penduduk, India sepatutnya menjadi satu negara yang berupaya menjajah negara lain. Perkara ini tidak berlaku kerana masalah dalaman juga yang membolehkan benua itu dijajah oleh orang asing. Bayangkan betapa liciknya orang Eropah menakluki sebuah benua yang besar hanya dengan menghantar beberapa ribu askar untuk menaklukinya.

Demikianlah perjalanan hidup sesuatu tamadun bangsa sebelum bangsa itu boleh menjadi satu bangsa yang besar.  Ini menunjukkan orang Melayu yang digembar-gemburkan akan menjadi satu bangsa yang besar dan maju tidak akan berupaya berbuat demikian selagi bangsa Melayu itu sendiri tidak mengharungi setiap pahit-getir yang dilalui oleh bangsa yang maju di dunia ini. Cuba  kita lihat kepada orang Arab di Timur Tengah. Mereka mempunyai kekayaan dunia dalam bentuk minyak dan gas. Mereka menduduki satu bidang tanah yang besar yang mengawal ruang perjalanan kapal laut dan udara daripada Timur Jauh kepada negara barat.  Apakah mereka berjaya menjadi satu bangsa yang besar dan disegani oleh dunia masa kini? Mereka disegani oleh dunia kerana hasil bumi mereka dan bukan kerana kewibawaan mereka seperti yang ditonjolkan oleh Nabi Mohammad s.a.w pada satu ketika dulu. Inilah kenyataan hidup.

Kita mungkin boleh bersedih dengan kenyataan itu kerana tidak mungkin orang Arab itu mengembalikan kegemilangan maruah bangsa mereka selagi mereka leka dengan segala kemewahan yang tersedia ada.

Kepincangan orang Arab

Disebabkan rezeki yang melimpah ruah, orang Arab menjadi satu bangsa yang lupa daratan. Di Kuwait pada satu ketika dulu sebelum tercetusnya peperangan dengan Iraq, keluarga Arab tidak memperdulikan golongan muda mereka. Ada ibu yang tidak pun mempunyai masa untuk mendidik anak-anak. Semua tugas itu diserahkan kepada pengasuh yang diimport daripada Manila ataupun Jakarta. Akibatnya ramai anak kecil Arab tidak mampu bertutur bahasa ibunda mereka dengan lancar. Mereka lebih pintar bertutur bahasa rojak Inggeris ataupun bahasa Indonesia.

Yang paling melucukan kita apabila Kuwait diganyang oleh Iraq siapakah yang bermati-matian mempertahankan negara itu. Bukannya orang Kuwait, askar-askar Amerika yang diupah oleh raja-raja Arab dan juga PBB. Sesiapa yang selalu pergi ke Saudi Arabia tentu peka dengan peraturan betapa kaum Hawa tidak dibenarkan memandu kereta. Malahan kaum Hawa tidak dibenarkan menjadi penumpang teksi secara keseorangan. Alangkah lucunya, perkara ini boleh berlaku di abad ke-20 ini. Tetapi inilah kenyataannya, sedangkan kaum Hawa itu bersungkup dengan pakaian yang menutup segala auratnya. 

Perkara ini berlaku kerana raja yang memerintah termasuk dalam perangkap konspirasi yang menonjolkan prioriti pemerintahan yang songsang. Dia digalakkan mengenakan hukum-hukum yang pelik itu sedangkan banyak lagi pilihan alternatif yang boleh menjamin kesejahteraan rakyatnya.  Yang memelikkan lagi, anak-anak perempuan keluarga diraja itu dibenarkan hidup bebas di London, Paris dan kota raya besar di dunia luar dengan berpakaian ala barat pula.

Ura-ura revolusi rakyat Melayu?

Saya ingin mengambil kesempatan merakamkan ramalan saya bahawa orang Melayu tidak akan melancarkan sebarang revolusi yang keras-keras terhadap kepimpinan Melayu sekarang ini. Kalau ada pun semangat mencetuskan revolusi itu semangat itu akan berkisar dalam ruang laungannya dan gegaran emosinya semata-mata. Orang Melayu belum bersedia dengan pergolakan seperti itu kerana mereka perlu melalui pelbagai bentuk revolusi sosial hidup mereka dulu sebelum tercetusnya sebarang pergerakan yang akan mencetuskan revolusi rakyat yang diidamkan.

Ramalan ini adalah berdasarkan beberapa faktor seperti ini:

  1. Budaya maaf-bermaafan. Orang Melayu amat kaya dengan budaya ini. Sejarah Melayu sudah merakamkan kalau ada pun perasaan tidak senang hati terhadap pemerintahan, orang Melayu hanya akan menjatuhkan pemerintah itu secara perjuangan perseorangan. Menjatuhkan pemerintah tidak pernah dilakukan oleh revolusi rakyat. Itu sebabnya orang putih mencedok perkataan 'amok' yang merupakan perkataan Melayu Bugis. Maka terciptalah pepatah Melayu yang berbunyi: "Raja yang baik raja disembah, raja yang durjana raja disanggah."
  2. Orang Melayu amat patuh kepada ketua keluarganya. Kerana itu tercipta pepatah 'Biar mati anak jangan mati adat'. Orang Melayu terpaksa mengamalkan sikap kurang ajar kalau pun mereka mahu merubah sistem pemerintahan yang ada. Perkara ini telah dipertontonkan oleh MAHAFIRAUN sendiri dan diulang oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Mahathir berjaya kerana dia bukannya anak Melayu tulen dan orang yang disanggahnya adalah seorang anak raja yang berhemah tinggi. Tengku Razali Hamzah gagal kerana dia anak Melayu tulen dan mempunyai perwatakan yang lemah lembut sedangkan orang yang disanggahnya adalah seorang yang berstatus MAHAFIRAUN

-MT-

Hits: