Said Ghazali: Kenapa Osama Laden ditabalkan menjadi wira
Palestine
(Why bin Laden is hailed as the hero of Palestine)
http://argument.independent.co.uk/commentators/story....
Di bandar Nablus di Tebing Barat, Ali al-Masri ialah seorang pekedai yang sudah 72 tahun umurnya.. Dia bercadang untuk menggantung gambar potret Osama bin Laden, manusia yang paling dikehendaki di dunia, pada dinding kedainya. Ketika Iyad Musnar, seorang tukang kayu berusia 28 tahun, terlihatkan Osama mengutuk AS di kaca TV, dia menjadi seronok dan melaungkan “Allahu Akbar”. Amani Khader, seorang anak perempuan berusia 10 tahun kepada seorang pemimpin tempatan, berkata dia mencintai Osama Laden semacam ayahnya sendiri.
Inilah beberapa suara baru yang berkumandang di persekitaran Tebing Barat itu sejak beberapa hari yang lalu. Tiba-tiba kami diberikan seorang “pejuang” di jalanan Palestine, dan beliau ialah seorang insan yang dipercayai oleh Barat yang telah membunuh 6,000 orang.
Saya memang percaya kepada kemampuan pejuang pembebasan satu ketika dulu, Pada sekitar 1950-an dulu kami percayakan Gamal Nasser. Dia memberitahu, kami akan dapat semula tanah kami. Tetapi pada 1967, Israel menakluki Tebing Barat dan Gaza, sehinggalah ke hari ini.
Kemudian muncul Yasser Arafat. Saya pernah mempercayainya juga – sehingga saya dipenjarakan selama 18 bulan pada 1974 kerana menganggotai Fatah, pergerakan utama beliau. Dia juga telah membuat kenyataan yang hebat-hebat mengenai membebaskan tanah air kami. Yang kami terima hanyalah bermacam bentuk kegagalan, walaupun dia kerap mengatakan semua itu adalah kemenangan. Di bawah pimpinannya kami pernah kehilangan sekitar 20,000 ahli masyarakat Palestine yang terkorban dalam episod pembunuhan beramai-ramai ‘Black September 1970’.Tiga belas tahun kemudiannya, kami telah dinyah keluar daripada Beirut selepas menyaksikan kehancuran Lebanon.
Pada 1993, Arafat menandatangani Perjanjian Oslo, menyetujui syarat-syarat di mana kami tidak lagi mempunyai kuasa mengawal sempadan, bekalan air, ekonomi, dan juga ruang udara. Akhirnya, “pejuang kebebasan terunggul” kami ini mempunyai satu tugas tunggal untuk mengawal rakyatnya, menggunakan pasukan polis beliau menentukan keselamatan orang Israel.
Orang Palestine pernah juga mengkagumi Saddam Hussin, bertepuk tangan kerana kebodohan apabila peluru berpandu Scud merejam Israel pada 1991. Ramai rakyat Palestine yang sudah semakin dingin terhadap beliau. Kerana itu dia selalu menghantar orang kepercayaannya dengan bekalan wang untuk menderma keluarga mereka yang mati di tangan Israel. Tetapi harinya sebagai seorang wira kami sudah lama berlalu.
Kini golongan cerdik pandai Palestine sudah mula berkata bahawa pejuang kebebasan yang sebenar ialah George Bush kerana beliau memerangi keganasan dan menjanjikan sebuah negara bebas untuk kami. Tetapi Bush ialah sahabat yang paling rapat dengan Israel. Tidak menjadi satu kehairanan kerana itu, setelah berlakunya pelbagai kekecewaan itu, ada segelintir orang Palestine yang telah berpihak menyebelahi Osama bin Laden.
Masyarakat Palestine akan terus menentang peperangan mengganyang Afghanistan, kerana menganggapnya sebagai semata-mata mempunahkan orang awam. Memang yang dimangsakan itu tidak pun bertanggungjawab kepada serangan 11 September. Orang biasa memberikan sokongan mereka kepada Osama bin laden bukan kerana mereka menyetujui pembunuhan 6,000 orang awam, tetapi kerana mereka berkongsi semangat anti-Israel, dan sentimen anti-Amerika.
Seperti umat Islam yang lain, rakyat Palestine menentang kehadiran askar-askar Amerika di Semenanjung Arab. Mereka mengkagumi Osama Laden kerana sebagai seorang jutawan dia lebih selesa membuat pilihan pahit memperlekehkan Amerika dan barat.
Memberikan sokongan kepadanya tidak membawa erti seseorang itu menyetujui keganasan, walaupun ramai yang masih bengang dengan makna keganasan itu sebenarnya. Kenapakah Iraq, Iran, Syria, Hizbollah, ‘Islamic Jihad’ mesti diberi cop sebagai pengganas, sedangkan Israel dikecualikan?
Orang Palestine sudah pun memperakukan insan ini sebagai wira mereka kerana mereka percaya dia akan menghukum kuasa-besar paling berkuasa di dunia, sebuah negara yang telah membantu Israel untuk terus membuatkan kami hidup sengsara. Orang Palestine percaya wira baru mereka ini akan membebaskan Palestine.
Satu hari yang lalu saya telah mendekati salah seorang anggota polis yang ditubuhkan oleh Arafat. Beliau baru sahaja selesai menyuraikan tunjuk perasaan pelajar sekolah di Nablus yang menentang pengeboman Amerika dan menyokong Osama bin Laden. "Apa pendapat anda mengenai Osama Laden?” saya tanya pegawai itu. “Dia adalah manusia yang terhebat di dunia ini. Dia adalah penyelamat kita.” Kalau begitu, saya tanya dia lagi, kenapa anda bertindak ganas terhadap para penyokongnya? “Saya mengikut perintah,” jawabnya; “Allah tetap akan datang membantu.”
- Said Ghazali menetap di Palestine.
Diterjemahkan oleh SPAR
Hits: