Anggota Tanpa Jasad

Bahagian  Lima:

Keadaan Geografi dan Kesannya

Afghanistan mempunyai satu kawasan  seluas 700,000 kilometer  persegi, yang dipenuhi kawasan pergunungan  sekitar 75 persen  kawasan  itu. Penduduknya menghuni kawasan lembah yang banyak bergua  dan di kelilingi banjaran gunung sebagai temboknya. Inilah yang  melakarkan  pelbagai  ketinggian alam yang menjadikan kehidupan itu sesuatu yang mengancam, penuh dengan   lorong  sukar yang panjang, menjadi  penghalang  untuk berdagang. Namun semua  itu dianggap sebagai  satu kubu  asli  kepada kesinambungan budaya  dan semangat   kehidupan setiap puak  Afghan.  Kekurangan jalan raya  di seluruh negara  menyekat usaha setiap pejuang yang berminat  menguasai Afghanistan, dan ia  juga mengecewakan usaha para pedagang  yang mempunyai harta  yang mungkin dijadikan  alat pertumbuhan ekonominya.

Banjaran gunung  yang luas menyekat niat  penceroboh asing untuk  masuk mengganas. Ia juga   menyekat sebarang pengaruh budaya  asing  dan  kegiatan  ekonomi. Sebuah negara yang mempunyai   75 peratus  kawasannya  yang bergunung-ganang tentu  mempunyai masalah mewujudkan   pasaran pengguna   di bandar  yang berindustri   dan  mengeksport barangan pertanian  ke  kawasan bandar. Walaupun  senjata api digunakan   untuk berperang, peperangan itu  mengambil masa  untuk  mencetuskan  penyelesaiannya.

Pada  zaman dulu, Afghanistan merupakan  pusat perhentian  untuk laluan sutera yang bermula daripada China melalui Balkan  dan India   menuju Kandahar. Perkembangan pengangkutan melalui samudera dan  kemudiannya  ruang  udara, telah mengubah peranan Afghanistan daripada  laluan  komersial purba  menjadi  laluan  jalan  mati. Laluan Sutera  purba  merupakan satu  jalan untuk kafilah unta dan  kuda tanpa sebarang ciri-ciri   jalan raya  biasa. Laluan yang berlengkang-lengkuk  melalui Nadir Shah, Alexander, Timur dan Mahmoud Ghiznavi  membawa haluan ke India. Di sepanjang jalan  yang meniti banjaran gunung   memang  terdapat  beberapa   jambatan kayu   yang telah lama rosak  dan mereput  sejak  peperangan  yang  meledak  lebih  20 tahun  itu.

Mungkin juga   pada  hari ini, selepas dua dekad   penjajahan asing dan peperangan saudara, rakyat Afghan mahukan  parti politik yang  terkuat  memenangi  kuasa untuk melakarkan satu  hala tuju   yang  menepati  takdir Afghanistan, tidak kira apakah cabarannya.  Inilah harapan yang  tersekat  juga  oleh  banjaran  gunung-ganang itu. Mungkin juga  pejuang tulen  Afghanistan sebenarnya  bukanlah rakyat  yang sentiasa lapar dan terpaksa bermandiri  tetapi banjaran gunung  yang  enggan  menyerah diri. Pasukan  Tajik yang diketuai oleh  Ahmad Shah  Massoud  (arwah) dapat  bertahan kerana kewujudan Lembah Panjshir. Seandainya  Afghanistan tidak punyai banyak  banjaran gunung, sudah lama Soviet Russia  mampu  menguasainya; ataupun ia sudah lama dimangsakan oleh Amerika yang menjadikannya  padang buruan laksana Kuwait di timur Tengah  dan merapatkan wilayah itu lebih dekat lagi kepada  pasaran  Asia Tengah.

Bergunung-ganang  bererti   kos peperangan  yang bukan kepalang dan  kos pembinaan negara semula  yang  akan  lebih tinggi harganya. Kalaulah Afghanistan tidak begitu dahsyat keadaan  buminya sudah tentu  ia mempunyai  kemudahan untuk mengembangkan ekonomi, ketenteraan, politik  dan  prasarana  budayanya.  Apakah keadaan geografi ini satu sialan? Bayangkan peranan seorang pejuang yang  menuruni dan mendaki  pergunungan setiap kali.  Andaikan kalau dia  mampu  menakluki keseluruhan  Afghanistan? Tentunya dia perlu selalu  mendaki ke puncak  untuk  membawa bekalan kepada  bala tenteranya. Banjaran gunung  ini sudah  mencukupi menjadi  satu benteng  yang perkasa mempertahankan Afghanistan daripada  kerakusan  musuh   asingnya  dan  sahabat  setempat  yang haloba.

Apabila diamati peperangan Soviet Afghan dulu, kita dapat  perhatikan penentangan negara itu  dari bahagian  dalamnya, di mana  setiap puak dan suku kaum mempertahankan lembah penempatan mereka  yang  telah  memerangkap  mereka juga. Apabila musuh berundur, sekali lagi  mereka  melihat  lembah  yang  bebas itu  sebagai  pusat  dunia mereka. Sedangkan  itulah tempatnya  yang amat sukar  untuk bertani.  Hanya  15  persen tanah yang ada  sesuai untuk pertanian dan hanya  setengah daripada  kawasan tani yang sesuai itu yang dapat  mereka usahakan. Usaha menternak adalah dirangsang  oleh  adanya padang ragut  di lereng  banjaran  atau  di  kawasan  berdekatan.

Bolehlah kita katakan Afghanistan  menjadi mangsa  kepada  keadaan tofografinya. Tidak ada jalan raya  di pergunungan  itu dan  pembinaan  jalan  memang sesuatu  yang tidak termampu.  Kalau ada pun laluan, ia merupakan lorong  ketenteraan  ataupun laluan sempit untuk kerja-kerja  penyeludupan. Kalau  ada pun jalan yang boleh ditafsirkan sebagai lebuh raya, ia  wujud  di pinggir  sempadan. Bagaimana mungkin jalan raya sempadan berfungsi   sebagai   nadi utama  laluan Afghanistan yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang  menyangkuti    sosial, budaya, ekonomi dan telekomunikasi? Dulu, ada juga jalan raya  antara  negeri dan  wilayah, tetapi  peperangan telah menyebabkannya hancur dan musnah. Siapakah  yang akan  meraih keuntungan  apabila  jalan baru diusahakan nanti? Daripada  projek apakah  yang  menghasilkan sesuatu  untuk mengongkosi pembikinan jalan raya  begitu?

Ada  yang ramai berkata  bahawa Afghanistan  dipenuhi   beratus ribu jerangkap samar. Daripada  bahagian mana antara  kawasan  yang sungguh berbahaya  yang mengandungi sumber kaya  yang boleh merangsang  pencarian  destinasinya? Siapakah yang sanggup melabur memasang   jerangkap samar  untuk  menjana keuntungan  di satu  masa depan yang tidak ada kepastiannya?  Apakah kekurangan jalan raya itu  sudah mencukupi menumpulkan cita-cita Soviet dan Afghan  untuk  membasmi  segala jerangkap samar yang lama tertanam itu?

Di sebalik itu pula, Afghanistan merupakan  satu  kawasan  yang telah  lama memeram laluan rahsia  yang memang lama  dan panjang  ceritanya, yang sungguh  berkesan dan berfaedah untuk  menyeludup dadah. Terdapat  banyak jalan  dan  laluan yang berbelit-belit untuk  penyeludupan, tetapi untuk menumpaskan para penyeludup itu jalan lurus  yang diperlukan memang belum lagi wujud. Tidak mudah mengingati  jumlah  laluan yang akan digunakan dan  tidak mudah  menyerang  laluan itu setiap hari. Yang paling mudah ialah menanti ketibaan kafilah  di  persimpangan Seorang penyeludup pernah ditangkap  di  bandar Semman  di Iran setelah beliau jalan berkaki ayam daripada Kandahar  sambil  mengendong  satu guni dadah.  Dia tidak mempunyai pelapik pada kasut yang  dipakainya  kerana  haus,  tetapi  dia nekad  berkaki-ayam terus.

Di pergunungan Afghanistan bekalan air  adalah   lebih merupakan satu bencana daripada sesuatu yang ada  rahmatnya.  Di musim sejuk  ia beku  dan  membatu. Pada musim bunga  ia cair dan mula mengalir. Apabila tiba musim panas  ia  berkurangan  mencetuskan kemarau yang sungguh mengganas.  Inilah  ciri  pergunungan  yang tidak ada ampangannya. Aliran air  pergunungan yang tidak terkawal  dan  tanah yang keras manjal, mengecutkan peluang untuk bertani  dan  berternak.  Inilah dia  gambaran  geografi Afghanistan: Amat mencabar untuk  direntasi, sukar  untuk bercucuk tanam kerana  jerangkap samar yang lama  terbenam dan  tidak mudah digerudi  kerana kos pengangkutan  yang tinggi.

Ramai pihak yang menganggap  Afghanistan  sebagai muzium  kepada  pelbagai puak, suku-kaum dan bahasa  disebabkan  keadaan tanahnya dan  kesukaran  menyusurinya.  Setiap budaya dan tradisi  di negara ini  terus kekal tanpa tercemar  kerana  keadaannya yang terpencil dan kekurangan  usaha  bergaul dengan  budaya  lain. Sudah menjadi satu amalan kepada kawasan  yang amat sukar untuk bertani ini,  (memandangkan hanya 7 persen yang sesuai untuk bertani dan  itupun  kerap diancam oleh kemarau), berpaling   dengan mudah kepada penanaman  biji poppi sebagai sumber  pendapatan kepada   para penghuni. Kalau keadaan hidup tidak berubah dan  harga  roti tidak  naik  bertambah, penanaman  poppi ini membawa faedah, setakat satu buku roti   setiap hari  untuk  Afghan  yang mengusahakannya.

Keadaan ekonomi Afghanistan  yang ada kini, hanya mampu  memberikan kemajuan ekonomi yang  membolehkan rakyatnya  setakat  mengisi perut  mereka,  itu pun  untuk setengah hari  sahaja.  Kerana itu ramai yang berhijrah  menceburi  industri pembinaan di Iran, melibatkan diri dalam peperangan politik ataupun  menjadi pelajar theologi   di sekolah tajaan Taliban.  Mengikut perangkaan terdapat  2,500 sekolah  tajaan Taliban yang mampu menampung  antara 300 hingga  1,000 pelajar  yang yatim piatu  dan sentiasa lapar.  Di setiap sekolah ini, semua  penghuninya  mampu  menerima   sekeping  roti  dan semangkuk sup,  membaca  Qur'an untuk menghafalnya   dan kemudiannya  menganggotai  tentera Taliban.   Inilah saja  opsyen yang ada  untuk  mengelakkan  pengangguran.

Oleh kerana  geografi  negara  dan  penghijrahan  rakyatnya,  penyeludupan dan peperangan   menjadi   kerjaya  utama  dan inilah  yang  mencetuskan kesangsian saya bagaimanakah Massoud  mampu  memuaskan kehendak rakyatnya  setelah  berjaya  menumpaskan Taliban? Apakah semua ini akan dilakukan  melalui  peperangan yang berlanjutan  ataupun penanaman poppi ataupun  doa panjang  mintakan  hujan? (Ingat:   tulisan ini disiapkan sebelum Massoud  mati  dibunuh oleh pembunuh upahan  dua hari sebelum  serangan  dahsyat di Washington dan  New York – penterjemah)

Di sempadan   dengan Iran, PBB memberikan  bayaran sebanyak  20 dollar  kepada setiap Afghan  yang sanggup pulang semula  ke kampung halamannya.  Mereka diangkut dengan bas kepada  bandar yang pertama  di bahagian Afghanistan  ataupun  sengaja diturunkan  di kawasan sempadan. Yang seronoknya,  pelarian yang dihantar pulang ini tidak menunggu lama-lama sebelum  mencuri  masuk semula  sebagai pelarian. Kalau mereka tidak dikesan, dapatlah lagi  wang  20 dollar itu sebagai sagu hati untuk  memasuki Afghanistan sekali lagi. Afghan yang menganggur  menggunakan  setiap  penyelesaian masalah menjadi punca pekerjaan yang mudah.  Walaupun  banyak peperangan itu  menjadi satu bentuk pekerjaan, tidak ramai pemimpin Afghan yang mati  kerananya.

Peperangan yang berpanjangan  menjadi peluang keemasan  kepada Amerika Syarikat, Soviet Russia dan  enam negara yang berjiran yang  membayar wang  kepada pasukan  yang sanggup setia  kepada  mereka.  Semua itu  adalah bertujuan  untuk memanjangkan peperangan itu dan mengimbangi kuasa, sedangkan   orang Afghan menganggap  semua itu hanyalah sebagai satu punca  pekerjaan. Kita harus ingat,   kemarau  di  sana sudah  berpanjangan selama dua tahun lamanya, dan inilah yang mengakibatkan banyak  ternakan yang mati kehausan.

Purata  jangka hayat  orang Afghan ialah sekitar 41.5  tahun  dan  kadar kematian kanak-kanak bawah  umur  dua tahun  ialah antara  182 hingga  2000 kematian  per 1,000 kanak-kanak.  Purata  kelanjutan usia ialah 34 tahun pada  1960 dan pada tahun yang terdekat ia sudah menurun  lebih rendah  lagi.

Aku tidak dapat lupakan  malam-malam penggambaran kami di Kandahar. Sewaktu  pasukan kami  menyiasat  kawasan  padang pasir  dengan lampu suloh, kami dapat melihat  pelarian yang nazak  seperti   kumpulan  binatang  ternakan  di tengah gurun pasir. Apabila kami bawa  mereka yang masih bernyawa  mendapatkan rawatan  hospital di Zabol  kerana memikirkan mereka  diserang penyakit kolera,  barulah kami sedar betapa  mereka menunggu saat kematian kerana kebuluran.  Aku masih lagi tidak mampu  memaafkan diri ini kerana menikmati makanan yang  lazat-lazat.

Antara  1986 hingga 1989, orang Afghan memiliki  22 juta  kambing biri-biri.  Ini bersamaan dengan seekor kambing bagi setiap penduduk. Secara tradisinya,  inilah lambang kekayaan sebuah negara  pertanian  seperti Afghanistan. Kekayaan itu hancur lebur semasa musim kemarau yang terbaru.  Bayangkan keadaan sebuah negara  bertani yang tidak ada ternakannya lagi. Kisah tragedi Afghanistan  ialah  disebabkan  kemiskinan  dan kalau ada cara  untuk memperbaikinya hanyalah melalui  pemulihan ekonomi negara.

Kalaulah aku telah  menyokong kumpulan mujahidin   dan bukannya  pejuang kebebasan yang merupakan  manusia  biasa  yang cuba  teruskan kehidupannya, aku  pasti pulang semula  ke sana. Kalaulah aku seorang presiden sebuah negara jiran, aku galakkan hubungan ekonomi dengan Afghanistan  dan bukannya   campur tangan politik-ketenteraan. Kalaulah Allah memberikan  kuasa, aku  pasti  memberikan rahmat  sesuatu kepada Afghanistan   yang dapat membawa faedah kepada keseluruhan negara yang sudah sengaja orang lupakan. Dan aku tuliskan  ini pun  bukannya dengan kepercayaan  ia akan membawa kesan  pada  zaman ini  yang amat berbeza   berbanding kata-kata   yang pernah ditulis oleh  Sa’di pada  satu ketika;  “semua manusia itu  adalah  anggota kepada  satu badan.”

Dr. Kamal Hossein, penasihat  hal ehwal kemanusiaan  PBB  untuk Afghanistan, pernah datang daripada Bangladesh  melawat  kami di pejabat  pada musim panas  tahun 2000. Dia memberitahu  betapa  dia pernah melaporkan  usaha sia-sia PBB selama 10 tahun. Dia tiba membantu aku menyiapkan satu  penggambaran  yang  mungkin  menyedarkan  dunia. Aku menjawab: “Saya  sedang  mencari  unsur-unsur itu yang  akan membawa kesan .”

Kita mesti ambil ingatan  bahawa Afghanistan  tidak merana  dengan dahsyatnya daripada campur tangan asing  berbanding  sikap mereka yang sengaja tidak mahu ambil-pusing. Lainlah kalau Afghanistan itu  seperti Kuwait, yang  mempunyai lebihan pendapatan minyak, kisahnya  tentu  berbeza dengan banyak. Tetapi, Afghanistan tidak mempunyai bekalan minyak di dasar bumi, dan negara berjiran dengannya kerap menghalau pulang para pekerja walaupun dibayar  gaji  yang  tidak tinggi.  Kerana itu, adalah satu amalan biasa, setiap kali muncul kegagalan mencari pekerjaan,  pilihan lain yang masih terbuka ialah penyeludupan. Ataupun  menganggotai pasukan Taliban, atau jatuh  di satu sudut di Herat, Barnian, Kabul atau Kandahar dan mati kebuluran  kerana  dunia yang penuh kebodohan.

Aku pernah berada  di sebuah khemah di Zabul yang  penuh  dengan pelarian haram. (ini pun satu misnomer kerana dalam dunia ini tidak ada pelarian  yang sah – penterjemah) Aku belum pasti lagi apakah itu  satu khemah  penempatan ataupun satu   penjara. Orang Afghan yang  lari daripada perkampungan mereka  disebabkan kebuluran  ataupun serangan Taliban telah menolak  tawaran suaka  dan  menunggu  untuk dibawa  ke Afghanistan semula. Gelagat itu  nampak  sah  dan  mempunyai unsur kewarasan. Orang yang dengan sebarang sebab  memasuki sebuah negara secara  haram  dan kemudiannya  ditolak, terpaksa dihantar pulang.  Tetapi, kumpulan  yang   ada itu sedang  kebuluran kerana tiada makanan.  Kami berada di situ  untuk memilih   pelakon tambahan untuk perfileman.  Aku bertanyakan  pihak berkuasa dan diberitahu  bahawa khemah itu tidak mampu memberi mereka makan dan  ramai yang sudah  kelaparan selama seminggu.  Mereka hanya  mampu minum air. Kami pun  tawarkan  mereka  makanan sehinggakan  mereka berdoa  agar kami pergi ke sana setiap  hari.

Kami telah belikan makanan untuk 400 Afghan  daripada mereka yang berusia   dua bulan kepada  lelaki yang  berusia  80 tahun.  Kebanyakan yang  daif adalah anak-anak kecil yang  pengsan kerana kelaparan  dalam pelukan ibu  mereka.   {Pihak berkuasa  menyatakan kesalan mereka dan  menyatakan  betapa  ia memerlukan masa  yang panjang  untuk mendapatkan kelulusan   kewangan.) Mereka  juga  berkata  kedatangan pelarian bertali arus   dan  amat sukar untuk diurus.   Inilah dia kisah sebuah negara yang dimamah  oleh hukum alam,  sejarah silam,   politik dan ekonomi   dan  kerakusan  para pemimpin negara  jiran  yang  tidak berhati  insani.

Seorang   penyajak Afghan yang sedang  dihantar pulang  daripada  Iran  telah melakarkan perasaannya dalam bentuk  prosa  sebelum dia  beredar:

Aku  datang berkaki ayam, begitu juga caranya aku  pulang Insan  yang tidak  menyimpan dan  menabung, terpaksa beredar, Begitu juga  anak yang tidak ada  boneka di tangannya, terpaksa keluar. Pukauan yang menjerut  pemergianku  akan terputus di malam syahdu, Dan meja  yang kosong  permukaannya  akan dilipat  di situ. Aku puas  menjelajah di kaki langit  penuh   sengsara Akulah  yang dilihat  orang  ketika berkelana. Apa yang bukan milikku akan  ditinggalkan sebelum melangkah panjang Dulu aku  berkaki ayam,  begitu juga caranya aku  pulang.

Bersambung  Bahagian 6

Hits: