Tazkirah ( 25 ) : Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam

Alhamdulillah. Segala puji - pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta keluarganya.

Wahai saudara dan saudari ku, Muslimin dan Muslimat! Hari ini saya merayu agar kita membiasakan diri dan beristiqomah dalam membaca doa yang sangat mustajab, iaitu doa Nabi Allah Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka sudah tertekan akibat kezaliman Fir'aun laknatullah. Marilah kita meminta ke semua imam-imam di masjid, di surau dan di madrasah membaca doa ini selepas mengerjakan solat berjemaah, lebih-lebih lagi di Hari Jumaat. Kita panjatkan doa semoga Allah s.w.t. hancurkan serpihan Kaum Fir'aun laknatullah di muka bumi ini, samada mereka berada di barat ataupun di timur. Bacalah doa ini terus menerus sehingga Allah memberi kemenangan kepada kita atau kita musnah demi mempertahankan ISLAM.

Firman Allah s..w.t ; ( Terjemahan ) " Dan berkata Musa : Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah berikan kepada Fir'aun dan pembesar-pembesarnya berupa perhiasan kekayaan dan kehidupan duniawi. Wahai Tuhan kami! Dengan kekayaan itu mereka sesatkan ummat! Binasakanlah harta mereka dan tutuplah hati mereka. Kerana mereka tidak akan beriman sebelum mereka melihat siksaan yang pedih ". ( Surah Yunus: 88 )

Inilah doa Nabi Musa a.s. dan Harun a.s., tetapi doa kedua Nabi ini, Allah perkenankan selepas 40 tahun kemudian. Inilah yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. pada ayat yang berikutnya, iaitu ayat 89.

Kita bersambung pula dari tazkirah ke 24 iaitu dalam hal membicarakan erti kehidupan dari mukasurat 5-12.

2.  KEHIDUPAN DI ALAM DUNIA.

Manusia yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar yang perlu ditunaikan, mereka juga perlu memainkan peranan penting di dalam perjuangan hidup untuk melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab tersebut dengan mengikuti segala arahan-arahan yang telah diwajibkan, peranan yang mencetuskan nilai-nilai kemanusiaan untuk melahirkan kelompok generasi yang benar-benar mampu menghadapi ranjau kehidupan, iaitu peranan terhadap diri sendiri dan juga terhadap agama.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Allah telah menciptakan kamu dalam keadaan lemah, sesudah itu Dia menjadikan pula kekuatan kepada kamu dan selepas kekuatan dijadikan kelemahan kembali dan beruban". ( Ar-Rum: 54 )

Manusia yang diwujudkan oleh Allah di atas dunia ini mempunyai peringkat dan proses pembesaran; bermula dari peringkat bayi berkembang menjadi kanak-kanak, kemudian menjadi dewasa, berkembang di alam remaja sebagai pemuda atau pemudi. sesudah itu manusia mengalami hari-hari tuanya dan akan kembali menjadi lemah akibat dimakan usia. Oleh sebab itu, manusia perlu membentuk dirinya untuk berperanan sebagai seorang manusia dengan aksi tugas dan tanggungjawab yang ditetapkan ke atasnya, bukan berperanan seperti haiwan yang tidak mempunyai apa-apa matlamat dalam kehidupan.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. ( Terjemahan ) ' Sesungguhnya ke atas Tuhan kamu ada hak, ke atas diri kamu ada hak dan ke ats keluaraga kamu ada hak, maka hendaklah kamu bahagikan hak kepada yang berhak'.

Manusia perlu bertindak pantas untuk membentuk nilai-nilai kemanusiaanya dan sifat-sifat idealisme melalui pekerti dan akhlak yang mempunyai kaitan rapat dengan persoalan roh di alam spiritual. Kemampuan manusia membentuk dirinya sendiri dengan displin akhlak yang baik, membentuk idea dan pemikiran yang bersih dan juga membentuk perasaan sanubari dan jiwa  nuraninya sendiri adalah terletak kepada kefahamannya terhadap nilai-nilai agama yang menggariskan batas sempadan yang jauh di antara halal dan haram, supaya ianya tidak dicampur-aduk menjadi satu adunan.

Manusia adalah makhluk yang bertanggungjawab dan tanggungjawab manusia kepada Tuhannya ialah melaksanakan segala tuntutan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, manakala tanggungjawab manusia terhadap dirinya pula ialah memastikan dirinya agar sentiasa mentaati perintah Tuhan dan tidak sekali-kali terkeluar dari perintah dan larangan-Nya, manakala tanggungjawab manusia terhadap keluarganya ialah memelihara atau menjaga mereka daripada bencara kemungkaran yang boleh menyebabkan diri mereka disentuh oleh api neraka.

Orang-orang yang beriman mestilah bersedia menerima segala arahan dari Tuhannya, kerana kesediaan menerima arahan tersebut merupakan suatu ketaatan yang tidak berbelah bagi dan apa yang dimaksudkan dengan sebuah kehidupan yang suci ialah kehidupan yang sentiasa taat kepada perintah ILAHI. Tetapi, kehidupan orang-orang yang tidak beriman dan orang-orang yang suka melakukan maksiat kepada Allah bagaikan binatang ternak yang merayau-rayau ke sana ke sini tanpa arah dan tujuan. Mereka tidak mengerti dan tidak pula faham maksud kehidupan sebenar, kerana mereka tidak memiliki konsep keimanan yang sejati, perasaan diri mereka telah dikuasai hawa nafsu yang menjadi pedoman di setiap penjuru laluan hidup mereka.

Firman Allah Ta'ala ; ( Terjemahan ) " Dan orang-orang yang kafir bersenang-senang ( di atas dunia ) dan mereka makan seperti binatang ternak, sesungguhnya neraka adalah tempat tinggal mereka".  ( Muhammad: 12 )

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Mereka mempunyai hati, tetapi mereka tidak mengerti, mereka mempunyai mata tetapi tidak melihat, mereka mempunyai telinga tetapi tidak mendengar, mereka bagaikan binatang ternak bahkan lebih sesat dari itu lagi, sesungguhnya mereka adalah orang-orang  yang lupa ".  ( Al-A'raf: 179 )

Penguasaan hidup mereka didorong oleh kehendak-kehendak hawa nafsu menyebabkan mereka tidak mengerti dan faham akan hakikat kehidupan yang sebenar, sekalipun mereka mempunyai perasaan di sudut hati. Mereka tidak dapat melihat, sekalipun mereka tidak buta dan mereka tidak dapat mendengar , sekalipun mereka tidak tuli. Apa yang sebenarnya berlaku pada diri manusia seperti ini ialah tiadanya nilai-nilai kekuatan untuk memberi sokongan dan semangat kepada perasan diri, tetapi apa yang ada ialah penguasaan hawa nafsu yang sekaligus memusnahkan nilai-nilai dan hakikat keimanan tersebut.

Hawa nafsu itu telah merombak dan memusnahkan benteng keimanan yang ada di dalam diri mereka....

3.  KEHIDUPAN DI HARI AKHIRAT

Kehidupan di alam ini bermula setelah manusia diwafatkan dengan sebuah kematian yang datang menjelama. Sebenarnya, kematian bukanlah bererti berakhirnya riwayat hidup manusia atau tamatnya umur manusia dan kemanusiaanya itu selesai di situ sahaja...!

Kenyataan ini tidak benar sama sekali, bahkan wajib ditolak oleh setiap mereka yang  beriman kepada Allah. Kematian itu cuma suatu perjalanan untuk menuju ke alam lain dan ianya hanya bersifat sementara. Manusia akan kembali di dalam episod kehidupan buat kali kedua, kehidupan yang baru dan tidak sama dengan kehidupan di atas dunia, iaitu kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi dan di sana manusia tidak akan mati selama-lamanya.

Di alam ini, manusia terlebih dahulu dihitung atau dihisab timbangan amalannya di atas dunia,sama ada mereka dapat menjadi warga syurga yang penuh dengan pelbagai kemewahan ratna mutu manikam dan kenikmatan, penuh dengan pelbagai aneka keseronokan dan kebahagiaan  ataupun menjadi warga neraka yang amat dahsyat nyalaan apinya, yang menjadi penghuni di dalamnya ialah puak-puak kafir, para musyrikin, ahli nifaq dan konco-konconya. Manusia akan kekal abadi di alam akhirat untuk menjadi salah satu dari dua penghuni, sama ada penghuni syurga atau penghuni neraka dan manusia akan dibangkitkan nanti bersama-sama roh dan jasadnya sekali.

Di sana terdapat banyak ayat-ayat yang memperkatakan tentang kehidupan manusia sesudah mati, adanya alam lain sesudah kehidupan manusia di atas dunia ini, iaitu alam akhirat, alam yang kekal abadi dan tiada lagi kematian sesudah itu.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Kemudian Kami bangkitkan kamu selepas mati, mudah-mudahan kamu bersyukur". ( Al-Baqarah: 56)

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Kemudian sesudah ( kehidupan ), kamu akan mati dan kemudian dibangkitkan kembali pada hari kiamat".  ( Al-Mu'minun: 15 - 16 )

Setiap manusia akan dibangkitkan kembali setelah kematian datang menimpanya di hari akhirat kelak untuk dihitung segala amalan-amalan yang telah dilakukan di atas dunia.

Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Hari yang tidak memberi manfaat kepada harta benda dan anak-pinak, melainkan orang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera".  ( Asy-Syu'ara: 88 - 89 )

Hari yang tidak lagi memberi apa-apa nilai kepada harta benda atau kekayaan yang dikumpulkan, hari yang tidak memberi apa-apa jaminan kepada batas keturunan, melainkan pada hari tersebut mereka datang menghadap Allah dalam keadaan hati yang penuh denbgan keimanan, iaitu hari kebangkitan semula umat manusia selepas mati.

Sabda Rasulullah s.a.w. ( Terjemahan ) ' Tidak beriman seseorang hamba sehingga ia beriman kepada empat perkara: iaitu menyaksikan tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah dan aku adalah Rasulullah yang Iai utuskan dengan benar, percaya dengan kematian dan kehidupan selepas mati serta beriman kepada qada '.

Rupa-rupanya menjadi kewajipan kepada setiap individu muslim  mempercayai adanya kehidupan selepas mati, kehidupan buat kali kedua yang merupakan kehidupan yang kekal abadi buat selama-lamanya, tiada lagi kematian selepas itu. Namun demikian, kebanyakan manusia hari ini tidak lagi menaruh keyakinan tentang adanya kehidupan seumpama ini, kerana mereka sering kali mengejar dan berlumba-lumba untuk memperbanyakkan timbunan harta benda, mengejar kemewahan di tengah-tengah gelanggang kehidupan, memperluaskan empayar perniagaan dan perdaganagn tanpa memikirkan apa cara sekalipun, sama ada halal atau haram, bahkan apa yang mereka cari ialah soal keuntungan sebanyak mungkin.

Mereka tahu bahawa kehidupan di atas dunia ini hanyakah sementara waktu sahaja dan manusia akan mati, justeru segala harta benda dan segala rupa bentuk kemewahan hidup tidak dapat sekali-kali dibawa bersama kematian.

Tetapi! Mengapa manusia hari ini tidak menerima hakikat sedemikian rupa...?

Al-Quran telah mengemukakan uslub ta'jub dengan merenung penuh kehairanan terhadap sifat-sifat dan telatah hidup manusia yang tidak mahu berpegang teguh dengan prinsip hidup yang berakar tunjang kepada konsep keimanan secara mutlak atau secara menyeluruh. Demikianlah firman ILAHI yang melahirkan perasaan hairan mengapa manusia boleh berlaku kufur kepada Allah..!

" Bagaimana kamu boleh berlaku kufur kepada Allah? Sedangkan kamu dahulunya mati ( tiada ), kemudian kamu dihidupkan dan kemudian kamu pula dimatikan dan kepada-Nya kamu dikembalikan ". ( Al-Baqarah: 28 )

Mengapa di kalangan manusia boleh berlaku kufur terhadap Allah? Mengapa mereka tidak mahu  beriman, tidak mahu beramal soleh dan tidak mahu mengerjalan tuntutan-tuntutan yang telah diwajibkan oleh Allah? Mengapa manusia sanggup mengabaikan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Allah kepada mereka dan sanggup pula mencari konsep kehidupan yang lain yang bebas dari ikatan syariat Allah..?

Ya! Sebenarnya kejahilan itulah yang telah menyebabkan manusia kufur kepada Allah dan memerangkap ruang kehidupan mereka untuk membentuk suatu penilaian yang bercanggah dan salah dengan nilai-nilai hidup yang sebenar yang jauh menyimpang dari realiti kehidupan.

Kejahilan telah menyebabkan manusia buta meraba-raba untuk menilai hakikat hidup yang sebenar, hakikat yang membezakan di antara Islam dan jahiliyyah, iman dan kufur, hakikat yang memberi kudrat dan kekuatan kepada pembangunan diri, pembangunan rohani dan jasmani.

Kekufuran itu telah merombak dan merungkai ikatan tali keimanan terhadap ILAHI, nescaya nanti mereka akan menerima hukuman di hari akhirat apabila menjelmanya pukulan maut yang memusnahkan kehidupan mereka....!

..........bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.Subuh

Hits: