Harun Rashid: Dongeng Hikayat Al-Maunah
(The Framing of the Al-Maunah)
Perdana Menteri Mahathir bertegas bahawa rompakan Al-Maunah adalah satu kejadian
yang sebenar, dan segala kisah karut yang menyelubungi peristiwa itu bukannya
hasil lakonan yang dirancang oleh Kerajaan. Dia berkata bahawa semua fakta yang
dilaporkan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri Pertahanan, yang bertindak
sebagai jurucakap bersama bagi pihak kerajaan, adalah betul belaka. Hikayat yang
penuh dongeng ini seperti yang diatur untuk santapan media oleh KPN Norian Mai
dan Menteri Pertahanan Najib Razak begitu berkecamuk dan bercelaru. Kisah
hikayat mereka berbeza antara satu babak ke satu babak seperti kisah penglipur
lara dulu kala, sememangnya tidak tersusun dengan fakta yang logik dan masuk
akal. Kisah yang mereka dongengkan tidak pun seragam dengan segala kenyataan
yang dibentangkan di mahkamah yang mendengarnya.
Kerajaan telah gagal dalam usaha berlanjutan untuk menyogok minda rakyat jelata
dengan maklumat songsang yang tidak masuk akal. Masalah mudah dalam hal ini
ialah adanya perkara yang tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Minda yang
menuntut jawapan jelas mudah diperlekeh oleh butiran yang tidak waras, sambil
menguji apakah PM sendiri sudah sewel dalam perjalanan otak penipunya. Ataupun
kebijaksanannya berpolitik sudah mengecut sehingga dia sendiri tertipu
memikirkan rakyat jelata masih boleh terus ditipunya dengan dongeng murahan yang
begitu bahlul jalanan skrip ciptaannya.
Kisah di mahkamah yang mengadili kumpulan Al-Maunah itu memperakukan rumusan
rakyat betapa itulah propaganda politik yang memang berunsur satu sandiwara,
dilakonkan dulu di atas kertas sahaja tetapi dilaksanakan tanpa sebarang
raptainya, oleh sebuah kerajaan yang begitu terhimpit untuk membuktikan secara
tipu-helah betapa PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang menyanggahnya,
mempunyai ahli yang ‘menyimpang’ dan dianggap ekstremis ataupun pelampau
dalam fahaman hidup mereka.
Empat orang lelaki mati dalam episod itu sedangkan 25 orang lagi menghadapi masa
depan yang hancur lebur. Ramai antara mereka yang sudah tidak lagi stabil
pemikirannya. Tiga orang sudahpun dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, dan
majoriti yang lain akan terus terpenjara seumur hidup mereka tanpa peluang untuk
merasakan nikmat kebebasan di luar penjara.
(Catatan penterjemah: Bagaimana pula dengan ahli keluarga mereka yang
terpenjara????)
Dengan sikapnya yang sudah sewel perdana menteri berkata bahawa hukuman gantung
yang dikenakan kepada para tertuduh telah membuktikan betapa tuduhan terhadap
mereka adalah sesuatu yang memang-memang benar. Di zaman dulu kala, orang yang
tertuduh dikehendaki membuktikan mereka tidak bersalah dengan mencuba mengandar
besi panas sepanjang sembilan langkah. Yang lain dipaksa berjalan atas tenggala
yang panas menyala, ataupun disumbat dalam guni yang bertutup kemas dan dihumban
ke arus sungai yang deras. (Mereka yang didapati terapung-apung didapati
bersalah, dikait ke darat dan dibakar di tiang penderaan. Apakah kita fikir
perdana menteri Malaysia akan melepaskan sesiapa antara orang yang dihukum mati
itu seandainya mereka berjaya melepasi hukuman tali gantung?
Kali pertama rakyat jelata mempersoalkan kesahihan peristiwa haprak itu kerajaan
bertindak pantas menjanjikan satu Kertas Putih. Seperti ikutan satu amalan
tradisi, kertas putih itu tidak pun kunjung tiba. Kini, perdana menteri
mengulang lagi janji kosong itu. Ia tidak menjadi satu bahan lelucon kepada
rakyat jelata, di mana jua. Janji manis semacam itu sudah lama dianggap sebagai
satu pengakuan bahawa perkara siasatan itu adalah satu peristiwa yang ditaja
oleh kerajaan sahaja. Janji manis terbaru PM itu hanyalah laksana
basong-penyumbat yang digunakan untuk menutup mulut botol ketidakpuasan hati
rakyat.
Kalaulah kerajaan tunaikan segala janji manis dulu-dulu mengenai kertas putih
yang dijanjikannya selama itu, sudah tentu ia memerlukan satu bangunan baru yang
indah tersergam untuk menyimpan segala maklumat yang tersurat. Mujur juga
terdapat dua alasan kenapa kemestian itu kecundang selama ini. Pertama, adalah
satu kenyataan bahawasanya tidak ada Kertas Putih untuk difailkan, dan kedua,
terlalu banyak bangunan tinggi yang kosong-kosang di bandar raya Kuala Lumpur.
Penghijrahan beberapa kementerian ke Putrajaya menyebabkan melambaknya ruang
kosong untuk dijadikan pejabat yang mudah disewa. Mungkin juga ruang kosong yang
masih melopong di Menara Kedua KLCC boleh digunakan untuk tugasan ini.
Dulu, ada satu kertas putih yang dijanjikan oleh kerajaan untuk melaporkan
episod Medan. Satu lagi telah dijanjikan mengenai kebakaran di Universiti
Malaya. Banyak lagi kertas putih yang sepatutnya sudah disiapkan, tetapi tidak
muncul-muncul juga. Apakah Malaysia kekurangan kepakaran untuk menyediakan
Kertas Putih Kerajaan? Ketandusan kertas yang dijanjikan ini menjadikan satu
bahan ketawa yang memalukan. Rakyat jelata kerugian besar dengan ketiadaan
kertas putih ini. Mereka sudah semakin tidak sabar dan perdana menteri dengan
menteri balacinya menjadi bahan ketawa dengan gelagat mengulang kembali janji
menyediakan kertas putih itu.
Terlalu banyak yang masih tidak tertulis mengenai Al-Maunah dan cara mereka
dilayan oleh pegawai kerajaan. Laksana kisah lama yang penuh kehebatan dan
kesegaran yang memukau Charles Boudelaiare, segala semerbak yang mewanginya
hilang lenyap sebaik sahaja kisah sebenar diketahui orang. Apabila terdedah
segala kelentongan yang direncana, satu usaha menjelaskan perkara ‘sebenar’
itu telah dilaksanakan mengelilingi negara untuk memberi taklimat kepada
kakitangan kerajaan. Tujuan utamanya ialah untuk mengembalikan maruah kerajaan
yang terhenyak oleh kesangsian rakyat. Walaupun sesiapa sahaja dibenarkan
menyertai majlis taklimat yang percuma itu, ia mencetuskan reaksi yang
menakutkan. Tidak ramai yang berminat menghadirkan diri membuang masa mendengar
kelentongan malbari.
Dua pasukan telah diwujudkan untuk meyakinkan rakyat jelata bahawasanya
peristiwa Sauk itu benar-benar telah berlaku seperti yang didakwa oleh kerajaan.
Anggota pasukan khas itu adalah daripada dua pasukan yang berbeza latar
belakangnya. Satu pasukan dianggotai mereka yang berlatarkan pengetahuan agama
dan yang satu lagi disauk daripada anggota bawahan jabatan polis sahaja. Pihak
tentera sengaja tidak diambilkira untuk memainkan peranan mereka. Tayangan di
malam pertama tidak mendapat sambutan sedangkan persediaan yang diberikan
mencetuskan lebih banyak tandatanya daripada yang mampu dibuktikan.
Wakil petubuhan Islam telah berusaha menjelaskan keseluruhan 29 cara bagaimana
amalan Islam boleh dianggap amalan yang sesat. Kemudian, secara mengejutkan
hadirin yang datang, mereka membuat pengumuman kenapa mereka tidak dapat
memutuskan apakah anggota Al-Maunah itu kumpulan yang sesat ataupun tidak.
Para hadirin naik menyampah. Apakah gunanya mereka dijemput oleh kerajaan,
dengan menafikan mereka menjalankan kerja harian setengah hari, hanya untuk
tidak diberitahu apa-apa yang bererti. Sepatutnya satu kenyataan ringkas yang
dipaparkan di mesin perakam waktu sudah memadai untuk memberikan penjelasan akan
hikayat dongeng itu.
Kemudian wakil pihak polis membuat penjelasan mengenai Al-Maunah dan kisah yang
terjadi. Segala kisah penglipur lara polis itu sukar untuk dipercayai dan
mencetuskan banyak tanda tanya. Segala soalan yang dikemukakan menunjukkan
rakyat jelata tidak puas hati dengan penjelasan sedangkan jawapan yang diterima
tidak pula meyakinkan.
Wakil polis itu berdiri tercacak laksana patung batu yang tegak sedangkan satu
rakaman video amatur ditayangkan. Itulah gambaran yang dihasilkan daripada
beberapa rakaman yang disunting di sana sini yang ditonjolkan sebagai aktiviti
latihan Al-Maunah. Dalam tayangan itu diselitkan pula satu babak menyayat hati
bagaimana dua mayat digali keluar daripada satu lubang kubur. Dua mayat itu
ditunjukkan terkambus secara tertindih dengan lubang yang menampung mayat itu
kelihatan cukup dalam untuk menampungnya.
Satu mayat itu dikatakan mendiang Sarjan SB Sagadevan. Yang lagi satu dikatakan
mayat Ranger Matthew ak Medan. Lubang kubur dan mayat ahli Al-Maunah yang
dikatakan terbunuh tidak pula dirakamkan oleh video, malahan tidak pula disebut
ketika itu. Sudah tentu kumpulan Al-Maunah turut mengebumikannya dan penggalian
mayatnya tentu dilakukan dengan cara yang sama, walaupun di satu masa dan tarikh
yang mungkin berbeza.
Bukit Jenalik ialah satu kawasan pertanian yang tidak mempunyai tumbuhan penutup
bumi yang mampu menjadi bahan menyorokkan diri. Dari situ terletak sebuah
sekolah yang berada hanya beberapa ela sahaja jauhnya. Segala pandangan para
penoreh getah, penanam sayur (berada di ruang masuk Bukit Jenalik, bersebelahan
kawasan Sekolah – penterjemah) dan juga kanak-kanak sekolah tidak pernah
diambil kira untuk dirakamkan di pita rakaman.
Mereka yang menyaksikan video itu berpendapat bahawa jurukamera video itu memang
hadir melihat bagaimana mayat digali keluar daripada lubang yang terletak di
kaki bukit kecil di situ. Identiti jurukamera itu tidak pula diperkenalkan,
begitu juga tarikh rakaman video itu dilaksanakan. Mayat yang dibawa ke bilik
mayat hospital memang sudah kejang kerana tempoh kematian yang sudah lama,
kerana itu pakar pathologi membuat laporan betapa kematian telah terjadi dalam
kedua kes itu sekitar empat hari sebelum itu. Mayat yang dibawa ke bilik mayat
hospital menunjukkan kematian telah berlaku empat hari sebelum itu. Tetapi,
dalam perbicaraan ada saksi yang bersumpah mengatakan kematian berlaku hanya
satu ataupun dua hari sebelumnya sahaja. Bagaimanakah perkara semacam ini boleh
berlaku? Semua butiran itu mungkin diketepikan secara disengaja, untuk dijadikan
satu bahan rujukan dan penjelasan dalam satu kertas putih yang dijanjikan oleh
perdana menteri.
Ketika perbicaraan dilangsungkan, seorang anggota polis menceritakan kisah dia
diarahkan pergi ke Bukit Jenalik pada satu malam yang gelap gelita selepas
penyerahan diri anggota Al-Maunah pada siang harinya. Waktu itu jam 10 malam
apabila dia terserempak lubang yang menampung dua mayat yang tertanam dengan
menggunakan cahaya lampu suluh. Apakah dia benar-benar dihantar untuk mencari
kubur itu? Dia juga menceritakan bagaimana dia terjumpa selaras senapang raifel
M16 dan kelengkapan lain di tepi kubur itu.
Rakaman video menunjukkan dua mayat digali pada siang buta. Tetapi rakaman
mahkamah mencatatkan pengakuan bahawa kubur itu digali pada jam sepuluh malam.
Apakah kita boleh percaya bahawa mayat itu digali pada waktu malam dan menunggu
kedatangan juru gambar pada keesokan harinya sebelum dialihkan? Soalan yang
menarik ini tidak pula dapat menarik minat ahli mahkamah yang mendengar
perbicaraan itu. Malahan, video rakaman polis tidak dijadikan bahan bukti
perbicaraan, walaupun ketika itu ada seorang peguambela yang sungguh
berpengalaman terlibat dalam perbicaraan itu. Bagaimanakah kisah semacam ini
boleh dilupakan begitu mudah sekali?
Anggota polis yang menjumpai kubur di malam hari itu sudah tentu mempunyai
penglihatan malam dalam gelap yang sungguh menakjubkan. Kawasan puncak bukit itu
adalah terlalu kecil, dan seseorang amat mudah terfikirkan bagaimana satu
regimen tentera yang menggeledah tempat itu sepanjang siang hari mencari bahan
bukti untuk digunakan di mahkamah. Mereka tidakpun menjumpai kubur manusia
ataupun raifel. Tetapi, seorang anggota polis boleh menjumpainya dalam gelap
gelita, bersama selaras raifel dan peralatan lain. Orang yang pernah melawat
tempat kejadian tentu akan merasa kehairanan bagaimana cerita yang dibuat oleh
saksi polis itu adalah satu dongeng yang sungguh menakjubkan.
(Catatan penterjemah - ada beberapa anggota Wataniah yang berada di tempat
kejadian selepas pengunduran anggota tentera yang mengaku bahawa lubang yang
ditayangkan kepada rakyat awam adalah lubang yang digali selepas anggota Al-Maunah
keluar daripada tempat itu.)
Anggota Al-Maunah yang terbunuh dikatakan telah terbunuh semasa mereka dikepung
selama empat hari. Tetapi tidak ada sebarang butiran mengenai pengebumiannya
ataupun penggalian mayatnya. Semua maklumat mengenainya hampir tidak wujud
seolah-olah dia sengaja dilupakan. Begitu juga dengan laporan autopsi akan
keadaan mayat beliau ketika digali. Apakah kematian itu tidak penting dalam
kisah tersebut? Dia dikatakan mati kesan tembakan askar yang mengepong tempat
itu. Apakah seseorang yang mati terbunuh tidak layak diberikan penghormatan
terakhir untuk menyemadikan mayatnya betapapun keadaan kematiannya itu? Siapakah
yang sepatutnya mesti menjawab semua ini? Apakah maklumat yang telah diberikan
kepada keluarga si mati? Apakah kedudukannya sebagai pegawai keselamatan atapun
perisik Al-Maunah mempunyai sebarang kaitan dengan kematiannya?
Peristiwa yang penuh drama sebelum penyerahan diri terakhir, seperti yang
diulang-tayang oleh cakap-cakap seorang panglima tentera yang sanggup menerima
jolokan sebagai wira, mengisahkan bagaimana salah seorang tertuduh telah terkena
tembakan senapang Mohd Amin ketika panglima komando itu dengan beraninya menepis
muncung senapang yang sedang meledak itu daripada mengena dirinya. Identiti
anggota Al-Maunah yang terkena tembakan itu tidak pula disebut dan begitu juga
dengan segala butiran akan rawatan yang diterimanya. Hospital tempatan tidak
pula mempunayi catatan orang yang memerlukan rawatan itu. Siapa yang patut
menjelaskan teka teki ini?
Seorang lagi anggota polis cawangan khas (SB) telah hadir sebagai orang tahanan
(tebusan?). Dia berkata bahawa dia tidak nampak apa-apa kerana dia telah dipaksa
duduk sedangkan tangannya terikat di belakang memeluk sebatang pokok durian,
bersama dua orang lain yang turut dijadikan orang tebusan. Apabila dibebaskan
pada satu tengah hari dia terlupa pula menyebut bahawa rakan sejawatannya sedang
tertanam bersama seorang tentera, Ranger Matthew anak Medan.
Kegagalan melaporkan lokasi sebenar kubur itu menjadi satu bahan pelik kepada
rakyat marhaen. Sudah tentu isteri dan ahli keluarga si mati mahu tahu perkara
sebenarnya. Apakah kita mesti mempercayai hakikat bahawa tidak ada sesiapa yang
mahu menyoal mata-mata gelap yang hidup itu (dan dinaikkan pangkat menjadi
Sarjan – penterjemah) lokasi sebenar dua orang lagi yang ditahan bersama
dirinya? Sudah tentu pihak berkuasa polis mahu tahu kedudukan mereka yang
hilang. Lagipun masyarakat awam mahu tahu cerita sebenar. Sehingga kini tidak
ada jawapan sebenar akan misteri itu.
Jaafar Puteh seorang peraih durian, telah ditangkap sebagai tebusan pada tengah
hari Sabtu, pada hari sebelum berlakunya kecurian senjata di khemah tentera. Dia
hadir pada upacara penyerahan diri. Dia tidak pula menyebut dan menunjukkan
kubur yang menyimpan orang yang mati. Kenapa pula? Dia telah ditahan oleh pihak
polis selama sepuluh hari, sebelum dia mati secara tiba-tiba tanpa sebarang
simtom sebab-musababnya. Kematian yang sungguh misteri ini menunjukkan polis
yang bertanggungjawab, tetapi tidak ada satupun fakta yang ada kaitan dengan
layanan yang ditanggungnya sejurus selepas Al-Maunah menyerah diri pernah
dikemukakan oleh pihak peguambela dalam perbicaraan itu.
Beberapa bulan selepas kejadian Al-Maunah, pokok getah di Bukit Jenalik telah
ditoreh semula setiap hari seperti biasa. Itu adalah satu kawasan yang sunyi di
mana beberapa petani menguruskan kebun sayur di kiri kanan jalan yang mendaki
bukit yang tidak berapa tinggi itu. Ribuan manusia, yang ghairah melawat tempat
itu, pergi ke puncak bukit itu melihat sendiri segala bukti yang ada mengikut
peristiwa yang diceritakan.
Para pengunjung terus muncul berbondong-bondong kerana keseluruhan kisah itu
begitu bercelaru dan menakjubkan sehingga tidak ada yang boleh dipercayai.
Penduduk setempat yang menetap di kawasan berdekatan memperakukan segala dongeng
dan pembohongan yang telah diberikan kepada para wartawan dan jurugambar yang
berada berbatu jauhnya daripada tempat kejadian. Penduduk kampung telah
menceritakan kisah kedatangan ratusan anggota polis dan tentera di Bukit Jenalik
sebelum berlakunya peristiwa kecurian. Mereka telah berlonggok dan berkerumun di
situ pada minggu menjelang peristiwa itu dan berada di tempat yang sama beberapa
hari selepasnya. Mereka mengeluarkan amaran agar sesiapa tidak menceritakan apa
yang mereka alami dan dengar kepada orang luar.
Kini, ribuan manusia yang mendaki Bukit Jenalik sudah melihat betapa lubang yang
digali adalah terlalu sempit untuk dijadikan kubur manusia. Tidakpun ada tandas
di situ seperti yang didakwa, dan tidak adapun tanda-tanda tempat itu pernah
diduduki oleh manusia. Cuma terdapat beberapa pembetung yang tertegak, yang
dikatakan digunakan untuk menyimpan air untuk pertanian. Para wartawan
diberitahu betapa senjata yang dicuri tersimpan dalam pembetung yang tegak itu.
Tetapi, apabila para wartawan memeriksa segala senjata yang dipamerkan untuk
tontonan masyarakat marhaen, di balai polis, mereka mendapati semua senjata itu
kelihatan baru, seolah-olah baru dikeluarkan daripada petinya.
Semua senjata itu tidak menunjukkan kesan pernah digunakan, tanpa ada sebarang
calar, tanda hakmilik, menandakan semuanya masih baru; berminyak dan belum
digunakan. Memang jelas senjata itu belum pernah diguna, walaupun oleh askar
biasa, di mana senjata itu dikatakan telah dirampas. Segala pengamatan ini yang
dilaksanakan oleh ratusan manusia yang berminat, sudah tentu tidak dapat
dikecualikan daripada sebarang catatan penjelasannya.
Kita kembali kepada video yang ditayangkan kepada umum itu. Di mana dan bilakah
video itu dirakamkan? Sudah tentu ia tidak dilaksanakan di Bukit Jenalik kerana
tidak terdapat sebarang lubang yang begitu luas untuk menanam seekor khinzir,
apalagi dua orang manusia yang sudah mati. Setiap kakitangan kerajaan diberikan
peluang melihat video ini, dan setiap orang melihatnya berpendapat video itu
dibuat selepas kejadian. Kemudian video itu ditayang dengan tujuan utama untuk
menegakkan benang basah kerajaan. Ia tidak mampu menyokong kisah dongeng yang
dihikayatkan oleh KPN Norian Mai dan Menteri Pertahanan Najib ketika mereka
mengumpulkan pemberita yang berkerumun untuk mengetahui perjalanan kisah Bukit
Jenalik. Kenapakah mereka dijauhkan daripada tempat kejadian yang sebenar untuk
membolehkan mereka membuat rumusan dan andaian sendiri akan peristiwa yang
terjadi?
Seandainya PM mahu semua orang mempercayai Al-Maunah itu adalah satu pertubuhan
yang bukan sahaja bergiat dalam ilmu mempertahankan diri, dan segala dakwaan
rompakan itu adalah bukan satu sandiwara yang direncanakannya, dilakonkan oleh
balaci upahannya, dia seharunya membenarkan semua orang yang tertuduh peluang
untuk mempertahankan diri mereka mengikut peraturan yang sewajarnya. Apa yang
direngeknya selama ini sebagai satu perbicaraan yang memberikan keadilan adalah
sebenarnya tidak jauh berbeza daripada satu mahkamah kangaroo bikinan partinya.
Ada satu artikel (bertarikh September 9, 2000) yang menyebut betapa perbicaraan
tidak mungkin akan terlaksana, tetapi kejadian yang menyusul menunjukkan perkara
yang berbeza. Segala keangkuhan dan gembar-gembur yang dipaparkan memang di luar
anggapan. Tetapi, sekali lagi peluang terbuka muncul semula. Kertas putih yang
dijanjikan itu akan bernanah dengan penuh bahan fitnah, begitu berbisa dengan
bukti yang gila-gila, penuh disaluti bahan kelentongan yang akan membuatkan
perdana menteri menjadi pengecut untuk mengeluarkannya. (He.he...inikan Raja
Kelentong yang takut menghadirkan diri apabila disapina oleh mahkamah????)
Seseorang mudah menerima dengan segala rendah diri akan kesilapan yang
terdahulu, di mana pengaruh syaitan membuatkan manusia gelabah telah
disalahertikan.Tetapi,
apabila peluang mula muncul sekali lagi untuk merasuk keadaan, ia akan muncul
mendadak dengan segala kelentongan yang memuncak. Kelentongan dan penipuan akan
mencetuskan kemarahan manusia. Akan muncul nanti laungan dan desakan; keluarkan
semua Kertas Putih yang dijanjikan itu, dengan segala butiran yang terperinci,
sekiranya anda betul-betul berani!!!!!.
- Harun Rashid
Hits: