Pulau Tioman: Kemudahan Bebas Cukai
Untuk Kemudahan Seorang Insan
(P. Tioman: A special duty-free
arrangement for one man)
MGG Pillai 23/1/2002
Pulau Tioman yang terletak 50 km daripada pantai Pahang di Laut China Selatan,
dijadikan sebuah kawasan bebas-cukai, seperti Pulau Langkawi di Kedah, supaya
pelancongan terus merupakan punca tukaran mata wang yang kedua terbesar di
negara ini. Semua usaha digunakan untuk menarik lebih ramai pelancong. Apakah
keistimewaannya untuk menjadikan pulau itu sebuah kawasan bebas cukai? Kenapakah
Pahang dan Kuala Lumpur begitu ghairah dengan rancangan menjadikan tempat itu
menarik pelancong? Tidak syak lagi, memang ada rencana yang serupa dibuat untuk
menarik pelancong melawat Pulau Pangkor, di Perak.
Tidak ada siapapun, termasuk Straits Times di Singapura yang selalunya mempunyai
fahaman yang kritis memperdulikan pengumuman kerajaan itu. Siapa yang akan
untung dengan status Pulau Tioman menjadi bebas cukai? Pada 1970-an, sebuah
kasino dirancang di situ, tetapi ia lenyap begitu sahaja dengan suara lantang
untuk menolaknya oleh pembangkang. Lokasinya terlalu jauh daripada persisiran
pantai (Semenanjung) dan hanya dapat dicapai melalui Endau di Johor, dan ini
pasti merisaukan orang kampung. Di zaman dahulu, penolakan orang tempatan sudah
memadai untuk membantut sesuatu projek. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul
Razak, yang mengawasi pulau itu sebagai sebahagian kawasan parlimen beliau,
memang tidak mahu memikirkan rencana semacam itu.
Suatu ketika dulu, Malaysia terkenal kerana sebuah pulau bebas cukai, di Pulau
Pinang (Penang). Kemudahan itu disembelih kerana sebab yang tidak sukar untuk
difahami. Kalaulah pelancongan merupakan tujuan menjadikan Pulau Tioman sebagai
kawasan bebas-cukai, adalah lebih berguna kalau kerajaan memberikan pertimbangan
begitu kepada Pulau Pinang. Pulau itu mempunyai segala kemudahan untuk menarik
pelancong, terdapat ratusan hotel yang mesra kepada selera pelbagai jenis
pelancong.
Pulau Langkawi yang menjadi pulau bebas cukai telah dibina daripada
permulaannya. Kerja begini amat ketara. Penduduk pulau itu dinafikan kemewahan
yang sepatutnya kerana tanah mereka dibeli dengan harga murah untuk orang lain
menyewa dengan harga sewa yang melangit tingginya yang mencekik para pelaburnya
sekali. Pulau itu dimajukan untuk membolehkan para kroni menjadi kaya-raya
dengan bergaya sedangkan orang tempatan terus papa kedana. Tetapi, pelancong
tidak juga kunjung tiba, dan setiap kali dibuat pameran dan ekspo di sana, hotel
dan dewan pameran mengenakan bayaran yang tinggi sehinggakan ramai yang pernah
datang tidak mahu mengulangnya lagi.
Jadi, Pulau Langkawi merupakan satu projek (Mahathir) yang sudah gagal,
sehinggakan kerajaan sedang merancang untuk menarik-balik status kawasan bebas
cukai di pulau itu. Malahan, satu jawatankuasa kerja sedang membuat kajian
apakah boleh dilaksana penarikan itu tanpa menjejaskan keadaan di Langkawi, dan
tanpa membuat pengakuan betapa projek Langkawi sudah merupakan projek menunggu
mati? Kini, Pulau Tioman dijadikan sebuah kawasan bebas cukai. Satu emporium
yang bebas cukai tanpa pengawasan kastam pasti akan kecundang. Jadi kenapa
terburu-buru mengisytiharnya? Hanya....untuk memudahkan kroni kelas musibat
mengaut untung daripadanya!!!!!
Di Pulau Tioman, kalau ada pun pembangunan yang bertujuan untuk kegunaan
pelancong, ia dimiliki oleh Kumpulan Berjaya (Berjaya Group) yang dimiliki oleh
Vincent Tan. Untuk ke sana, anda perlu mengharungi samudera selama tiga jam
daripada Endau ataupun menaiki Berjaya Air daripada Kuantan. Hanya seorang
manusia yang untung daripada keputusan menjadikan tempat itu bebas cukai, dan
beliau ialah Vincent Tan. Dia sudah lama di situ dan lama memulakan kerja
pembangunannya.
Vincent Tan mempunyai satu kampung pelancongan di Pulau Redang, di Terengganu
yang mudah dihampiri tetapi tidak mendapat banyak keistimewaan kerana Terengganu
ditadbir oleh PAS dan kerajaan pusat amat ghairah mahu menghumbannya. Kerana itu
Vincent Tan diberikan keistimewaan di Pulau Tioman. Kenapa? Apakah ada rencana
memindahkan Club Med di Cherating ke Tioman? Apakah ada rencana membuka sebuah
kasino di sana? Kalau tujuan menjadikan Malaysia sasaran pelancong, kenapa
diutamakan Pulau Tioman, sedangkan sudah tidak ramai pelancong yang tiba di
Pulau Langkawi?
Satu ketika dulu sebuah kasino pernah dicadangkan di Langkawi. Pengerusi Genting
Berhad, Tan Sri Lim Goh Tong telah menjelajah kawasan itu tetapi menjadi takut
melihatkan kejayaan PAS yang di luar jangkaan dalam Pemilu 1999. Apakah itu
sebabnya rencana itu dialihkan ke Pulau Tioman? Untuk rencana itu terlaksana,
mesti ada kemudahan untuk pulau itu mudah didatangi. Buat masa ini hanya Vincent
Tan yang akan untung dari tindakan kerajaan itu, dan itupun bukan ada jaminan
rencana itu akan berjaya. Ada seorang manusia sahaja yang ghairah di sebalik
memajukan Pulau Langkawi dulu. Namanya ialah Dr. Mahathir Mohamed. Tetapi dia pun
tidak berjaya menjadikan Langkawi mahsyur dan kaya raya. Bagaimana gerangan
Vincent Tan akan menjayakan projek Pulau Tioman?
Kenapa agaknya Vincent Tan begitu disayangi dengan projek mewah seperti ini?
Apakah itu menjadi satu imbuhan kerana melumpuhkan The Sun untuk membolehkan The
New Straits Times menambahkan edarannya. Apakah itu sekali lagi contoh bagaimana
seorang kroni yang disuapkan projek penswastaan setelah gagal tiga kali? Semua
projek penswastaan yang diberikan kepada Vincent Tan - gagal segagal-gagalnya.
Tetapi, dia masih dipertimbangakna dengan sogokan lagi. Kenapa? Apakah Pulau
Tioman kini menjadi sebuah pulau bebas cukai untuk membolehkan seorang kroni
terus bernafas lega? Inilah persoalan yang pasti tidak akan ada jawapannya.
MGG Pillai
pillai@mgg.pc.my
TAMAT. SPAR
Hits: