Mahkamah Benar Paul Diwakili Peguam Negara Atau Wakilnya
 
 
KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Jumaat membenarkan Peguam Negara Datuk Abdul Gani Patail atau wakil-wakilnya untuk mewakili Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul dalam mendengar satu usul yang dikemukakan oleh seorang peguam untuk mengambil tindakan terhadap Paul kerana menghina mahkamah.

Hakim Datuk Hashim Mohamad Yusoff berpendapat permohonan Abdul Gani untuk mewakili Paul dalam prosiding itu bukanlah bagi membela hakim itu sebagai individu tetapi mempertahankan bidang kuasa jawatan hakim itu sendiri.

"Ini bukan kes Datuk Augustine Paul melakukan apa-apa kesalahan yang ditakrifkan dengan jelas oleh Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan statutari yang lain.

"Di sini, timbul tuduhan yang Datuk Augustine Paul melakukan penghinaan yang masih perlu ditentukan," katanya.

Hashim berkata dalam prosiding sekarang ini di hadapan mahkamah, yang lebih penting ialah isu sama ada hakim Mahkamah Tinggi boleh disabitkan kerana menghina mahkamahnya sendiri.

"Oleh kerana Peguam Negara yang arif berpendapat tiada penghinaan prima facie dapat dibuktikan daripada kata-kata yang ditutur oleh Hakim Datuk Augustine Paul semasa perbicaraan jenayah di hadapan beliau, saya tidak lihat alasan mengapa Peguam Negara tidak boleh tampil untuk mempertahankan bidang kuasa hakim Mahkamah Tinggi..," katanya.

Abdul Gani meminta kebenaran mahkamah untuk membenarkan beliau ataupun wakil-wakilnya mewakili Paul bagi usul yang dikemukakan oleh peguam Christopher Fernando pada 10 Nov, 1999.

Fernando memohon supaya tindakan diambil terhadap hakim itu kerana mengeluarkan kata-kata yang tidak menyenangkan dan menghina terhadap beliau semasa perbicaraan rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim dua tahun lepas.

Paul didakwa berkata: "Jika cara bercakap ialah seperti seekor haiwan, kita tidak boleh terimanya.

Kita harus menembak beliau.

Beliau perlu berubah." Fernando, merupakan antara peguam Anwar semasa perbicaraan itu dan semasa kata-kata itu dikeluarkan beliau tidak ada di mahkamah kerana terbabit dalam perbicaraan lain.

-- BERNAMA