Pengaiban Maruah Tun Daim?
(A Witch-hunt against Tun Daim?)
Oleh: M.G.G. Pillai

Apakah benar sudah bermula kini urusan mega mengaibkan Tun Daim Zainuddin, mantan menteri kewangan dan tukang pasak terunggul Malaysia Inc.? Memang benar, dan perkara ini dibuktikan dengan jelasnya oleh timbalan perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, apabila beliau menafikan persoalan penting itu. Angin desas-desus bertiup kencang mengatakan Daim sudah menjadi sasaran sebaik sahaja Tajuddin Ramli menjadi bahan serangan pihak yang berkuasa. Pertama, adanya laporan polis terhadap cara beliau menangani syarikatnya dulu; dan ini diikuti oleh keengganan Bursa Saham KL menyenaraikan satu longgok saham TRI yang terbaru, yang disebut TRI (OA) yang masih dikuasainya sedangkan permintaan beliau ialah agar longgokan terbaru itu dipaparkan pada harga yang lebih rendah daripada satu longgokan saham yang sama tarafnya yang sudahpun didagangkan di pasaran itu. Usaha TRI untuk menyenaraikan syarikat telefon selular, Celcom Malaysia Berhad, kini sudah disangsikan dan memang jelas bahawa TRI merupakan alat perdagangan yang tersenarai untuknya.

Tajuddin Ramli ialah anak emas Tun Daim. Satu ketika dulu saya terserempak dengannya di lapangan terbang Singapura sedang membimbit beg Daim, sambil mengekori beliau laksana khadam ketika mereka menaiki pesawat udara. Orang dalaman UMNO pernah menyebut satu tahun dulu, sebelum Daim bersara, betapa serangan utama yang akan menghala Daim ialah serangan terhadap semua orang suruhannya. Ini adalah usaha untuk Daim memulangkan kembali segala harta pusaka UMNO yang telah disonglapnya. Banyak desas-desus di pasaran menyebut betapa ratusan juta pulangan daripada jualan di pasaran bukannya diraih oleh kroni yang menjual saham itu, tetapi ia dimasukkan dalam tabung harta UMNO. Ketika Daim membeli balik hampir 30% jumlah saham MAS pada kadar RM8.00 sesaham, perbuatannya itu dilihat sebagai penyelamatan seorang kroni, sehinggakan perdana menteri Mahathir Mohamed, tidak mampu membisu mengenainya.

Sumber yang dipercayai menyebut betapa sejak itu bermulalah tindakan untuk menghambat Tun Daim. Beberapa kroni yang bukan berbangsa Melayu telah cabut lari, menyorok sebaik sahaja pihak berkuasa memulakan aktiviti menghambat mereka. Tetapi, urusan haprak MAS itu telah menjadi bahan penyebabnya. Sebelum itu Daim telah membuat urusan agar MAS membeli-balik sahamnya yang dipegang oleh Sultan Brunei pada harga RM4.00 sesaham. Kemudian, dia mengumumkan di Parlimen betapa saham itu bernilai RM15, dan membeli-balik saham itu pada harga RM8 adalah satu pelaburan untuk kerajaan. Inilah yang membuatkan Brunei naik geram dengan Malaysia. Pengerusi DAP Lim Kit Siang mahu Parlimen membincangkan perkara itu berdasarkan laporan polis yang mempertikai wibawa Tajuddin ketika menerajui syarikat penerbangan itu. Kerajaan tersungkur keaiban dengan pelaburannya bersama MAS, dan syarikat itu kini sarat dengan bebanan hutang sejumlah hampir RM10 bilion, menyebabkan peluang untuk pulih menjadi semakin sukar.

Gelagat Abdullah Ahmad Bedawi menafikan adanya usaha menghambat maruah Daim itu melambangkan betapa resahnya masyarakat Melayu masakini, terutama sekali mereka di dalam UMNO. Malaysia Inc. Yang digembar-gemburkan satu ketika dulu, kini sudah terbongkok-bongkok hampir menyembah bumi kemuflisannya. Satu bentuk baru dijanjikan, dengan cara syarikat kroni yang muflis mengambil-alih bank-bank yang hampir muflis juga. Hambatan ribuan pekerja kilang dibuang-kerja dalam setiap institusi yang menganggotai Malaysia Inc. itu. Yang terbaru ialah Perwaja, di mana kakitangannya diminta membuat pilihan berhenti secara sukarela ataupun dibuang begitu sahaja, dan ini adalah awalan kepada satu proses kemuflisan lagi. Ini juga satu bukti nyata bagaimana segala usaha menyelamatkan para kroni yang hampir muflis mencapai hasil yang haprak sahaja. Inilah hakikat yang amat mengena di kalangan masyarakat Bangsa Melayu di mana Malaysia Inc. sudah ternyata sesuatu yang gagal, segagal-gagalnya terutama sekali rancangan haprak Mahathir dalam dasar penswastaannya. Kalaulah UMNO mempunyai pucuk pimpinan politik dan budaya yang cekap, perkara ini pasti tidak akan terjadi. Ia berlaku kerana UMNO terus terumbang-ambing meraba-raba mencari satu kunci ajaib di kalangan masyarakatnya yang sudah lama bersabar dan sudah naik marah sehinggakan keadaan mereka memang amat mendebarkan.

Kerajaan sudah tidak ada pilihan selain bertindak kasar terhadap para kroninya dan Tun Daim yang dianggap oleh orang UMNO sebagai musibat yang bertanggungjawab dengan kecelakaan yang menghambat Malaysia, sebagai mereka yang mesti dihapuskan. Malahan, seorang pengamat UMNO berkata bahawa UMNO mesti mengemukakan kini sekurang-kurangnya satu senarai, katakanlah, mengandungi 20 nama kroni, dan mendesak mereka mengaku salah dan menghantar sekurang-kurangnya setengah daripada jumlah itu masuk penjara. Ini diharapkan dapat menutup malu dengan cara merapatkan jurang perbezaan yang begitu luas yang kini wujud dalam masyarakat Melayu. Perkara ini mesti diselesaikan dengan mengambil kira penyelesaian kes Dato' Seri Anwar Ibrahim. Adalah lebih wajar kalau UMNO berjaya mendapatkan persetujuan orang Melayu menyokong usaha semacam itu. Malahan, si pengamat politik itu terus menambah lagi, dengan mencadangkan agar Anwar dibawa balik menjadi timbalan perdana menteri seolah-olah dikembalikan martabatnya seperti sebelum dipecat dulu. Seandainya Anwar dibebaskan, UMNO akan menghadapi risiko besar sekiranya Anwar tidak menganggotai semula UMNO dan melangkah kepada parti politik yang lain seperti Keadilan ataupun PAS. Pemimpin UMNO sudah basi dengan percaturan bagaimanakah kedudukan mereka sekarang ini. Kerajaan sedang ditadbir dengan cara kawalan jarak jauh (auto-pilot) menjadikan semakin sukar untuk kepimpinan yang ada menyelesaikan masalah harian mereka.

Kerajaan dan UMNO semakin ghairah mahu menyesatkan pembangkang. Pelbagai isu diungkitkan. Pada mulanya dilaksanakan pengharaman ceramah politik, mengikut pengumuman Perdana Menteri. Tetapi, timbalan menteri dalam negeri menafikan adanya pengharaman itu, kerana parti politik tidak memerlukan sebarang permit polis untuk mengadakan ceramah politik di bangunan mereka sendiri. Presiden PAS, Dato' Fadhil Nor mahukan satu surat yang mengesahkan pengharaman ini. Dia telah diberitahu betapa perkara itu tidak perlu dan ceramah di ibupejabat parti dihadkan kepada ahli sahaja dan pihak polis akan memantaunya seperti biasa. Akhirnya tidak ada sesiapa yang mengetahui keadaan sebenarnya. Jadinya, setiap kali kerajaan menyebut 'Ya', ia mungkin berubah menjadi mungkin juga dan diubah lagi kepada penafian sahaja. Kerajaan sudah terlalu berkarat dengan fahaman birokrat purba untuk berdolak-dalik apabila muncul sebarang kesangsian.

Kini, orang Melayu mengutuk UMNO dan mahu memeras ugut kerajaan. Orang Melayu sudah muak dengan segala janji manis dan cakap-cakap kelentongan kerana mahukan keputusannya. Kepura-puraan untuk menyelesaikan masalah orang Melayu sudah sampai ke tahap persoalannya. Orang Melayu sudah ‘fed-up’ dan muak. Mereka sedang menantikan kepala dan tengkuk pemimpin Melayu yang bertanggungjawab dengan keadaan hidup mereka yang semakin tertekan. Selama bertahun lamanya, UMNO sengaja memperbodohkan orang Melayu dan memperlekehkan keperluan mereka dengan terus meningkatkan janji palsu setiap kali munculnya sesuatu krisis, terutama sekali selepas meledaknya episod Anwar Ibrahim. Kini, pemimpin UMNO terpaksa menghumban segala rakan mereka yang haprak untuk menghuni kandang bajingan yang penuh dengan serigala sebagai satu cara ikhlas menyelesaikan dilema yang menghantui mereka. Mesej Abdullah Badawi menafikan usaha menghambat maruah Daim dan kata pojok yang tersiar di muka depan The New Straits Times, menunjukkan UMNO terpaksa menahan ludah dengan muka mereka mengikut desakan orang Melayu yang sudah naik marah. Tetapi, bukannya mudah perkara itu kerana usaha menghambat Daim hanya merupakan langkah pertama. Ia tidak akan mencukupi setakat itu sahaja.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Hits: