Ketari V: Demokrasi Dalam Kediaman Yang Terhad
(Democracy In Restricted Residence) 20/3/002.
Ketika berada di Russia minggu lalu, Perdana Menteri, Mahathir Mohamed telah
menyuarakan satu pendapat yang tidak mungkin dituturkannya ketika berada di
negara sendiri. Beliau menyebut bahawa Russia seharusnya berusaha menjadi sebuah
kuasa besar dunia semula, memandangkan dunia sedang dibayangi sebuah kuasa besar
sahaja. Dunia akan menjadi terlalu berbahaya seandainya dicengkam oleh sebuah
kuasa besar sahaja. Kalau andaian ini dipanjangkan untuk mengambil-kira politik
Malaysia, dia menganjurkan betapa sebuah parti politik ataupun sebuah gagasan
politik tidak seharusnya mendominasi sesebuah negara; bahawa parlimen dan
dewan-dewan undangan negeri memerlukan lebih banyak lagi suara pembangkang untuk
mengimbangi pengaruh gagasan Barisan Nasional dan mengawasinya. Tidak ada yang
lebih tepat dalam kebenaran ini.
Bahaya dunia yang dibayangi kuasa unipolar memang amat bertepatan dengan andaian
beliau. Cuma dia sengaja memperlekehkannya. Di negara ini dia amat percaya
dengan hak BN memerintah tanpa pihak pembangkang yang mengawasinya. Apabila Bush
merasakan dia tidak dapat memerintah dengan rakusnya, dia mengugut untuk
melancarkan senjata nuklear. Begitu juga dengan Mahathir yang amat ghairah
menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri yang zalim) untuk menahan sesiapa
yang berani menyanggah pemerintahannya. Dia dan Presiden Bush, memerintah dengan
peraturan yang sama di mana apa yang dipermudahkan kepada dewa Yunani tidak
boleh dihulurkan kepada orang lain.
Ucapannya mengenai kuasa dunia berunsur unipolar bukannya untuk pengetahuan
orangnya di tanah air, apatah lagi kalau saranan itu memperkasakan demokrasi. Di
Malaysia, demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang terbelenggu,
terhencot-hencot di kawasan perumahan yang menghantui musuh regim Mahathir, yang
mesti mengikut paluan cambuk tuannya di Malaysia; Barisan Nasional dan
sekali-sekala oleh polis Malaysia seperti yang dihadapi dengan teruknya oleh
mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim satu ketika dulu. Di pihak dunia
bebas pula, sudah wujud satu budaya betapa mereka diperlukan tunduk dan akur
kepada Amerika Syarikat gara-gara munculnya satu cabaran besar terhadap
kekuasaannya pada September dulu sehingga membuatkannya naik minyak. Begitulah
juga dengan BN yang naik minyak mahu terus menguasai negara ini. Sebarang usaha
pihak pembangkang untuk melukakan martabat BN dianggap sebagai satu ancaman
serius laksana Bush menganggap sebarang ancaman terhadap kewibawaannya dengan
cara mahu melepaskan bom nuklear terhadap musuhnya.
Sebenarnya BN tidak senang hati menghadapi satu pilihan raya kecil yang kalau
boleh tidak dipertandingkan. Kuasa besar politik di Malaysia betapa pun pandangan
pemimpinnya di arena global, memang tidak mahu pembangkang, yang dipandangnya
dengan jijik sebagai golongan anti-nasional, walaupun kewujudan mereka adalah
untuk mengimbangi kuasa di Malaysia. Kerana itu pemimpin politik pembangkang
ditangkap dan ditahan tanpa perbicaraan mengikut ragam kerajaan Amerika
Syarikat. BN mengancam mereka yang berpaling tadah dan melompat kepada parti
lawan . Tidak jauh bezanya dengan Amerika Syarikat yang takut bertembung dengan
pembangkangnya secara bersemuka tetapi lebih gemar menyerang daripada berbincang
dengan mereka. Demikian halnya di Ketari. Presiden Gerakan, Lim Kheng Yaik,
sedang menggelabah. MCA pula sedang berkecamuk dan terpaksa melupakan masalah
dalaman untuk turut serta berkempen. UMNO tidak mahu melihat PAS menayangkan
bendera parti pada hari penamaan calon, kerana itu polis membuat peraturan tidak
membenarkan bendera lain kecuali bendera DAP yang dikibarkan di kawasan
pembangkang. Tetapi BN diizinkan mengibarkan semua bendera parti komponennya
walaupun calon Gerakan bertanding atas nama BN.
Sejak pemilu 1999, UMNO, MIC dan MCA dan kini Gerakan terpaksa menghadapi pilihan raya
kecil dengan suasana yang penuh mencabar. Kemungkinan akan muncul
satu lagi pilihan raya kecil memang membuatkan Mahathir menggigil kalaulah ADUN
Pahang, Dato Fauzi Abdul Rahman, yang merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim,
mengancam melepaskan kerusinya sebagai tindakan menyagat UMNO Pahang.
Kemungkinan ini memang ditakuti oleh UMNO dan BN kerana besar kemungkinannya PAS
akan menang. Kerana itu UMNO mengalah secara berlembut dan mengharapkan Fauzi
tidak berbuat begitu sebelum 30 November tahun ini. Selepas itu tidak lagi ada pilihan raya
kecil yang dipertandingkan. Undang-undang pilihan raya Malaysia
melarang sebarang pilihan raya kecil pada dua tahun terakhir sesi parlimen dan
dewan undangan negeri.
Dalam lawatan Mahathir ke Russia itu, ada satu lagi kejutan yang dibuatnya dalam
membeli 30 buah jet pejuang Sukhoi. Memang tidak ada cacat-celanya dalam
pembelian itu kecuali agen jualan di Malaysia yang tidak diketahui umum. Dalang
yang paling utama dalam pembelian itu ialah seorang insan bernama Rosmah Yaakob,
yang secara kebetulan merupakan isteri kepada Najib Razak, menteri pertahanan
kabinet Mahathir. Secara lazimnya, Soviet Union dan kemudiannya Russia tidak
mempunyai agen khas untuk penjualan alat ketenteraan di negara barat. Sesiapa
sahaja boleh menjadi agen kalau memintanya, sambil membayar balik apa juga harga
komisyen yang patut diterima oleh insan yang menjayakan penjualannya. Rosmah
Yaakob berjaya merencana jual-beli itu. Ini perkara mudah kalau dikirakan siapa
suami yang menolongnya. Satu ketika dulu Mahathir mendapati gelagat ini sungguh
menjijikkan dan menukarkan Najib ke Kementerian Pendidikan Di sana Rosmah
mengembangkan sayapnya menjadi ejen komisen untuk penjualan perisian komputer
untuk projek 'Sekolah Bestari’ yang sudah kantul kini. (Perisian itu masih
belum siap lagi walaupun bertahun dulu dia menjanjikannya.)
Tetapi Dato’ Najib sudah menjadi sekutu yang bermutu dalam pencarian panjang
insan yang akan menggantikan tempatnya. Kerana itu Mahathir menutup sebelah mata
apa juga yang dilakukan oleh isteri Najib. Ini merupakan amalan biasa dalam
Darulboleh seandainya seseorang itu tukang ampu kepada Insan Yang Berfikir Dialah
Maharaja Seluruh Malaysia. Anda akan dituduh sebagai rasuah seandainya anda dan
saya sendiri melakukan apa yang Anwar Ibrahim lakukan, tetapi perkara itu dikira
perkara biasa seandainya anda dianggap anak-didik dan peliharaan orang tua yang
gila kuasa. Itu sebabnya Anwar Ibrahim merengkok dalam penjara dalam apa yang
disebut oleh Ling Liong Sik kisah Sarjan Senapang bin Peluru masuk Sungai Bulu
dulu, sedangkan Rafidah Aziz berlagak sakan di Putrajaya.
Demikianlah kiasan sindiran yang menghantui setiap pemimpin BN, setiap kali
munculnya pilihan raya kecil di negara ini. BN berpendirian bahawa taktik terbaik
untuk menang di Ketari ialah dengan menyerang DAP sebelum hari penamaan calon
diisytiharkan. Dengan mengenepikan cara berhemah dan berunsur mulia, Gerakan
memilih jalan aib untuk menang di sana. Kuasa besar politik Malaysia tidak mampu
membiarkan sebarang jentikan terhadap kuasanya. Mereka sanggup berlagak laksana
harimau yang terluka untuk mempertahankan maruahnya. Rencana BN dalam serangan
keganasan ala-11 September adalah merupakan batu penghenyak Anwar Ibrahim. BN
berlagak sama caranya dengan tingkah-laku Washington. Itu sebabnya Mahathir
berlagak semacam Presiden Bush, dengan pendapat yang saling bertukar nadanya di
hadapan hadirin yang berbeza, untuk menunjukkan betapa sebarang kuasa besar,
dalam dunia politik ataupun global mempunyai hak istimewa yang tidak boleh
diperolehi oleh orang lain.
Keupayaan BN dan Mahathir berlagak sombong tanpa banyak bantahan berbanding
bantahan yang dihadapi oleh Presiden Bush, adalah satu gambaran betapa
lompongnya kuasa pembangkang di Malaysia. Seperti yang disebut oleh MP PAS,
Shahnon Ahmad, dalam tulisannya di Harakah terkini, UMNO telah merampas ketuanan
feudal Melayu selama 55 tahun dulu lagi dan berjaya menguasai ketuanan politik
dan feudal Melayu itu dan berjaya menyerkap ketuanan politik bukan-Melayu
sehinggakan BN dan parti pembangkang dipaksa akur menerimanya. Yang mencabarnya
ialah kebangkitan kesedaran di kalangan orang Melayu ekoran pengaiban Anwar.
UMNO telah berusaha melancarkan perdebatan politik dan merencana hegemoni feudal
dengan cara meruntuhkan peranan warga istana dan ulama.
Apabila UMNO cuba menonjolkan peranannya sebagai pejuang budaya dan ketuanan
feudal Melayu, sepatutnya ia menerima pakai segala hukum-hakam budaya yang lama
tersusun itu. Tetapi ia enggan menerimanya, dan kini dihantui satu hukuman
kerana melanggarnya, dan bertindak ganas dengan penuh kemarahan. Sebagai seorang
ketua Melayu, Mahathir tidak pernah dicabar – kepimpinannya sebagai ketua
feudal dapat bertahan bukan disebabkan aturan ragaman budaya tetapi oleh kerana
kuasa dan putar-belitnya sehinggakan kuasa feudal itu lari daripadanya - begitu
juga halnya dengan Presiden Bush yang disanggah oleh musuhnya dari kalangan
golongan pejuang Islam.
Kerana itu Mahathir menyibuk di pentas dunia mengemukakan pendapat betapa AS
tidak seharusnya dibenarkan berlagak sendirian sebagai kuasa dunia, sambil
beliau merasa yakin betapa dunia tidak akan memandang serius segala mainan
wayangnya.
Kalau dia boleh berlagak celupar di Moscow mengenai hal ehwal politik dalaman,
dia juga tidak mempunyai sebarang niat untuk memenuhi janjinya seperti yang
pernah dibuat mengenai sekolah Cina, akan dianggap sebagai sesuatu yang serius
hingga memaksa ianya dipenuhi di Malaysia. Sekarang ini anda sukar mengamati
pergerakan bibir Mahathir untuk meneka apakah dia berkata benar ataupun sengaja
berbohong. Kalau ada kebenarannya ialah apakah tindakannya ketika menyatakan
sesuatu itu. Teori yang mengatakan Mahathir mahukan pihak pembangkang menang di
Ketari tidakpun disokong oleh kenyataan. Kalaulah DAP menang, kesannya nanti
adalah lebih serius daripada yang dijangkakan.
MGG Pillai
Hits:
pillai@mgg.pc.my